

Pendidik Murabbi Pemangkin Masyarakat MADANI Hari Anugerah Pendidik MARA
KUALA LUMPUR, 4 JULAI 2024 – Kerajaan menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) komited menghargai jasa 9,839 orang pendidik dengan penganjuran Hari Anugerah Pendidik MARA yang bertemakan “Pendidik Murabbi, Pemangkin Masyarakat Madani”.
Menurut Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Hari Pendidik MARA ini merupakan inisiatif MARA dalam memberi pengiktirafan terhadap pencapaian para pendidik yang telah mencipta kecemerlangan untuk menyumbang kepada agenda pembangunan negara.
“Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) peruntukan pembangunan bagi Rolling Plan Keempat Tahun 2024 (RP4 2024) sebanyak RM 2.5 bilion telah diluluskan untuk MARA” ujar beliau.
“Daripada jumlah ini, sektor pendidikan yang merupakan sektor utama MARA telah menerima peruntukan pembangunan tertinggi dengan 94.20% (RM2.39 bilion) daripada jumlah yang diluluskan bagi tujuan menaik taraf pusat, penyelenggaraan, perolehan ICT, pembelian peralatan dan kelengkapan dengan melibatkan 255 projek atau program pembangunan” tambahnya lagi.

Sementara itu, bagi memanfaatkan ekosistem digital dalam pembelajaran, MARA telah mengadaptasi teknologi baharu bagi memenuhi keperluan industri.
“Guru perlu memperkasa diri sebagai pendidik kompeten digital bagi mewujudkan iklim pembelajaran bersesuaian dengan abad ke-21 ini dankomited menghasilkan kandungan digital berkualiti. Gunakan skim ‘Bring Your Own Device (BYOD)’, iaitu bantuan kewangan sebanyak RM 3,000.00 yang diberikan khusus untuk semua pendidik Institusi Pendidikan MARA (IPMA) bagi membeli peranti yang bersesuaian” tambah beliau lagi.
Kejayaan pendidik di MARA telah menyaksikan kejayaan memperoleh Medalion of Excellent dalam pertandingan Worldskills Asia di Abu Dhabi oleh Encik Ahmad Muizuddin daripada Kolej Kemahiran Tinggi (KKTM) Pasir Mas.

Selain itu, Puan Safura dan Dr. Norasdhimah dari Kolej MARA Kulim telah berjaya membimbing pelajar hingga berjaya memenangi Anugerah Emas dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2024. Bagi meningkatkan nilai tambah kepakaran, MARA telah menawarkan kepada 164 warga pendidik MARA untuk mengikuti pengajian pada Peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PHD) sebanyak 45 orang dan Sarjana, 119 orang.
Selain itu, 10 orang guru telah dihantar bagi mengikuti kursus-kursus anjuran luar negara. Majlis Hari Anugerah Pendidik ini juga telah menyaksikan 4 anugerah disampaikan iaitu Anugerah Pendidik Cemerlang MARA, Anugerah IPMA Terbaik, Anugerah Khas Pendidik MARA dan Anugerah Tokoh Pendidik MARA.
The post Pendidik Murabbi Pemangkin Masyarakat MADANI Hari Anugerah Pendidik MARA appeared first on Siakap Keli.

