Pendigitalan pentadbiran tanah akan dibincangkan sempena Hari Tanah Negara

27 Jul 2022 • 10:19 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Warga pentadbiran tanah akan membincangkan isu serta cabaran aspek pendigitalan pentadbiran tanah sempena sambutan Hari Tanah Negara (HTN) yang keenam hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan(gambar) berkata pentadbiran tanah mempunyai peranan yang amat penting dalam membantu negara mencapai sasaran dalam Matlamat Pembangunan Mampan dan juga Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Sambutan tahun ini yang bertemakan ‘Jajaran Pendigitalan Tanah Merentasi Sempadan’ adalah untuk mengajak warga pentadbiran tanah berfikir di luar kotak dan maju selangkah ke hadapan bagi membincangkan isu serta cabaran dalam aspek pendigitalan pentadbiran tanah.

“Pelan Strategik Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) 2021-2025 telah menetapkan aspek ‘Memperkasakan Pendigitalan Sistem Pentadbiran Tanah Negara’ sebagai satu daripada inisiatif utama bagi meneraju perkhidmatan pengurusan tanah, ukur, pemetaan dan geospatial secara inklusif,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, di sini hari ini sempena HTN tahun ini.

Beliau berkata selain daripada mewujudkan ekosistem yang lengkap bagi melaksanakan pentadbiran tanah digital, output akhir kepada inisiatif utama itu ialah proses penyerahan serta pendaftaran secara dalam talian sepenuhnya dalam persekitaran elektronik.

Bagaimanapun, katanya pelaksanaan perkara itu di Malaysia memerlukan proses yang panjang bagi meminda dan mengemas kini perundangan tanah sedia ada iaitu Kanun Tanah Negara (KTN).

“Sejak dikuatkuasakan mulai 1 Januari 1966, KTN telah melalui proses-proses semakan semula dan pindaan-pindaan yang kali terakhir pindaan KTN dibuat adalah pada 2016.

“Selaras dengan perkembangan sistem teknologi maklumat yang terkini, semakan semula sedang dibuat terhadap KTN untuk menyesuaikan peruntukan-peruntukan sedia ada dengan perubahan-perubahan yang berlaku pada masa ini.

“Justeru, saya menggambarkan pentadbiran tanah secara digital sepenuhnya yang bersifat ‘end to end solution’ pada masa hadapan,” katanya.

Takiyuddin berkata tertakluk kepada pelaksanaannya kelak, urusan tanah boleh dibuat menggunakan komputer di rumah masing-masing tanpa perlu hadir ke pejabat tanah dengan konsep ‘digital signature’ dan hak milik elektronik bakal diterima pakai secara meluas.

HTN tahun ini akan disambut dengan dua acara rasmi iaitu majlis makan malam pada 31 Julai dan Persidangan Pentadbiran Tanah yang akan diadakan pada 1 Ogos.-Bernama