Penduduk Batu Kawan gesa isu banjir diselesaikan

12 Nov 2022 • 7:59 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BUKIT MERTAJAM: Penduduk di kawasan Parlimen Batu Kawan di sini menggesa pihak berkaitan menangani isu banjir yang berlarutan sejak 30 tahun lepas yang sehingga kini tiada penyelesaian.

Terbaharu, 150 penduduk termasuk di Taman Mangga, Taman Sentul, Taman Sentul Jaya dan Taman Pinang di Juru dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dilanda banjir semalam susulan hujan lebat lebih empat jam.

Pengerusi Penduduk Taman Sentul, Mohamad Yusof S. Ibrahim, 50-an berkata banjir kilat kerap berlaku sejak 10 tahun lepas yang menyebabkan penduduk risau setiap kali berlaku hujan lebat.

“Masalah banjir ini bukan pertama kali kami bangkitkan malah beberapa aduan dan perbincangan telah diadakan namun tiada jalan penyelesaian sehingga kini,” katanya kepada pemberita di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light di sini hari ini.

M.Krishnaveni, 38, yang tinggal di Taman Mangga berkata air memasuki rumahnya hingga paras lutut selepas hujan lebat.

“Lebih 19 tahun tinggal di sini, boleh dikatakan setiap tahun rumah dilanda banjir dengan terburuk pada 2017 dengan hanya bumbung sahaja kelihatan ketika itu. Tahun ini, ini kali kedua berlaku banjir.

“Penduduk di sini sudah letih dengan masalah yang tidak berkesudahan ini, setiap kali pilihan raya pelbagai janji diberikan kepada pengundi tetapi yang menanggungnya penduduk di sini,“ katanya.

Pasangan suami isteri, Mohd Rahizi Ramli, 43, dan Siti Suhana Saad, 42, pula berharap pihak berkuasa terutama kerajaan negeri dapat mengambil langkah segera dalam menyelesaikan masalah itu.

Siti Suhana yang bekerja kilang berkata rumahnya dinaiki air hampir satu meter namun bersyukur dua anaknya Puteri Alfiana, 12 dan Fayyadh Assidiq, 2, selamat.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow ketika melawat PPS SJKC True Light berkata kerajaan negeri telah mencadangkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang supaya membina sebuah parit utama di kawasan tersebut bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

Chow yang juga calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Batu Kawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 berkata arahan juga telah dikeluarkan kepada JPS negeri, Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang supaya memastikan pam yang ada beroperasi dengan baik.-Bernama