JERTIH - Penduduk Kampung Alor Belanga dekat sini hidup dalam kebimbangan susulan kemunculan seekor beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kampung berkenaan untuk mencari makan sejak April lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Alor Belanga, Abdullah Hassan berkata, haiwan liar itu kini dilaporkan semakin kerap muncul di sekitar kampung tersebut terutama pada waktu malam dan awal pagi sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk.
"Lebih meresahkan, jika sebelum ini beruang tersebut hanya merosakkan sarang kelulut yang diternak penduduk untuk memakan madu serangga dan pokok kelapa, namun kebelakangan ini haiwan itu mula menyerang dan memakan haiwan ternakan penduduk.
"Dalam kejadian terbaharu, beruang tersebut menyerang dan memakan seekor kambing milik penduduk pada Khamis lepas, malah sebelum ini juga pernah memakan haiwan lain belaan penduduk,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.
Abdullah berkata, kejadian itu telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan sewajarnya.
Sementara itu, seorang penduduk, Muhammad Isazuali Mohd Yusof, 27, berkata, kambing betina miliknya ditemukan mati dalam semak kira-kira 10 meter dari belakang rumahnya selepas dipercayai diseret haiwan berkenaan.
"Pagi Jumaat lepas saya dapati kambing yang ditambat berhampiran rumah hilang. Selepas mencarinya, saya menemui bangkainya dengan bahagian organ badannya sudah tiada.
"Seminggu sebelum kejadian itu, dua sarang kelulut saya juga dimusnahkan,” katanya yang turut melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk kampung.
Seorang lagi penduduk Abd Aziz Nasir, 51, berkata, lima daripada 10 sarang kelulut miliknya juga rosak dipercayai akibat serangan beruang tersebut, selain beberapa pokok kelapanya turut musnah.
"Sudah tiga kali beruang datang berhampiran rumah saya...saya bimbang keselamatan keluarga terutama ibu saya berusia 70-an yang sering berada di halaman rumah setiap pagi,” katanya. - Bernama



