
SHAH ALAM, 23 OKT: Lebih 100 penduduk Alam Budiman dan kawasan berhampiran berhimpun bagi mendesak tindakan segera pihak berkuasa menangani isu keselamatan di Persiaran Mokhtar Dahari yang disifatkan sebagai 'jalan maut'.
Perhimpunan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman petang tadi menyaksikan penduduk membawa sepanduk, mengusung replika keranda dan meletakkan replika kubur sebagai simbolik kepada kekerapan kemalangan maut di laluan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Gabungan Penduduk U10, Badrul Hisham Shahbudin berkata, penduduk mahu cadangan pembinaan jejambat sepanjang lima kilometer yang dikemukakan sejak 15 tahun lalu disegerakan.
Menurutnya, pembinaan jejambat dan pelebaran jalan merupakan penyelesaian jangka panjang yang diperlukan bagi meningkatkan keselamatan pengguna laluan terbabit.
“Kami berharap cadangan pembinaan jejambat diberi perhatian memandangkan ini laluan utama pengguna dari Puncak Alam, Puncak Perdana, Meru, Saujana Utama, dan kawasan sekitarnya untuk ke Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (DASH).
“Dari dahulu kami minta pelebaran jalan dan pembinaan jejambat kerana kami melihat itu penyelesaian yang diperlukan. Kami ingin tahu bila perkara ini akan dilaksanakan,” katanya selepas perhimpunan berkenaan, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Pengerusi Penduduk Greenhill Resident, Mohd Zailani Johari, 57, menggesa pihak berkuasa melaksanakan langkah keselamatan jangka pendek dengan segera tanpa hanya bergantung kepada pembinaan jejambat.
Katanya, beberapa kemalangan sepanjang Oktober termasuk yang membabitkan kenderaan berat menimbulkan trauma dalam kalangan penduduk.
“Penduduk mahu langkah keselamatan dilaksanakan segera kerana kita tidak boleh hanya menunggu pembinaan jejambat, sedangkan pengguna masih berdepan risiko setiap hari,” katanya.






