Penduduk Indonesia diarah jauhi pantai, bangunan tinggi

16 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penduduk Indonesia diarah jauhi pantai, bangunan tinggi

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mengarahkan penduduk terus menjauhi kawasan pantai dan bangunan susulan gempa kuat 7.7 magnitud dan tsunami kecil yang melanda perairan berhampiran Pulau Flores di timur negara itu semalam.

Pegawai mencari dan menyelamat, Fathur Rahman berkata, sekurang-kurangnya 47 orang disahkan maut di empat kawasan berbeza di pulau yang menjadi tumpuan pelancong itu.

Gempa berlaku pada awal pagi Sabtu dan penduduk di Nagekeo, kawasan paling hampir dengan pusat gempa bergegas menuju ke tempat lebih tinggi selepas air laut dilihat surut, keadaan yang menjadi petanda tsunami.

Rakaman yang disiarkan televisyen Indonesia turut menunjukkan ratusan penduduk berlari meninggalkan kawasan berkenaan, dikelilingi runtuhan bangunan yang rosak.

Puluhan gegaran susulan dengan yang terkuat berukuran 6.1 magnitud dijangka berterusan selama beberapa hari lagi.

Gelombang tsunami setinggi kurang daripada satu meter direkodkan di beberapa kawasan termasuk di Labuan Bajo, Dompu dan Sikka.

“Melalui media ini, kami meminta masyarakat kekal tenang. Walaupun amaran tsunami sudah ditarik balik, kami menggesa masyarakat supaya terus menjauhi pantai buat masa ini sehingga terdapat arahan atau amaran selanjutnya.

“Penduduk turut dinasihatkan supaya tidak memasuki bangunan tinggi, khususnya yang retak atau mengalami kerosakan. Ini berpotensi membahayakan sekiranya berlaku gempa susulan,” kata Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana, Berton SP Panjaitan.

Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNPB) berkata, kira-kira 2,000 penduduk di Nagekeo dipindahkan, manakala kerosakan dilaporkan berlaku pada beberapa rumah, gudang hospital dan kemudahan kerajaan.

“Bangunan hospital tiba-tiba mula bergegar dan kami semua panik. Pesakit turut melarikan diri. 

“Gegarannya sangat kuat. Saya nampak beberapa dinding retak,” kata pegawai khidmat pelanggan hospital berusia 31 tahun, Lukas Lotar.

Pihak berkuasa turut melaporkan kesesakan lalu lintas, tanah dan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di daerah berkenaan. 

The post Penduduk Indonesia diarah jauhi pantai, bangunan tinggi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved