Penduduk ingin khidmat udara ke Long Pasia beroperasi semula

LocalTravel
26 Mar 2025 • 2:30 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Jinius Pandakin

Long Pasia: Suatu ketika dahulu, penduduk Kampung Long Pasia menikmati perkhidmatan penerbangan tidak berjadual.

Seorang penduduk yang enggan dinamakan meminta kerajaan membuka semula perkhidmatan udara Kg Long Pasia agar penduduk boleh membuat pilihan sama ada menumpang kereta penambang atau menaiki pesawat, terutama untuk urusan penting.

Menurutnya, pada 1970an operasi perkhidmatan penerbangan ke Long Pasia mengunakan pesawat jenis Twin Otter dibuat seminggu sekali, namun ditamatkan pada awal 2020an berikutan kemudahan jalan raya yang sampai ke Long Pasia.

Bagaimanapun, katanya, keadaan jalan yang kerap menimbulkan masalah menyukarkan perjalanan setiap kali turun ke pekan Sipitang.

“Bila musim cuaca tidak menentu, jalan bertambah rosak teruk, berlubang, licin dan ada bahagian jalan yang sangat bahaya dilalui apabila berlaku hakisan pada jambatan yang menggunakan batang kayu balak dan ditimbus tanah. Sampai bila kami hadapi masalah jalan raya yang tidak sempurna ini?” dia bertanya.

Long Pasia yang terletak kira-kira 125 kilometer dari pekan Sipitang, hanya boleh dikunjungi menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan mengambil masa hampir empat jam jika perjalanan lancar.

“Halangan lain ialah jambatan konkrit Sungai Meligan apabila dinaiki banjir yang membawa bersama batang-batang kayu.

“Selepas menunggu berjam-jam untuk surut, kerja-kerja menghanyut batang-batang yang tersangkut di atas jambatan melambatkan perjalanan,” tambahnya.

“Jika keadaan jalan raya ke Long Pasia terus menimbulkan masalah, kami berharap perkhidmatan penerbangan dapat beroperasi semula seperti pada tahun 1970an,” katanya.