Penduduk kagum kemajuan projek majukan Sabak Bernam

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 2:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Penduduk kagum kemajuan projek majukan Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 29 JULAI: Penduduk setempat menyifatkan inisiatif Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) mengukuhkan sektor pertanian dan pelancongan seterusnya membuka peluang pekerjaan.

Menurut Mohd Hafiz Ismail, 34, beliau menyaksikan perubahan di daerah berkenaan sepanjang lebih sedekad menetap di Sabak Bernam selepas mendirikan rumah tangga dengan penduduk di situ.

Katanya, SABDA memperluas potensi daerah itu terutama sektor ekopelancongan dan pembangunan pertanian yang menjadi lebih berdaya saing sedangkan ia sebelum ini cuma kawasan pertanian.

“Bila wujudnya SABDA ini kita nampak Kerajaan Negeri fokus banyak sektor, lebih-lebih lagi pertanian, yang boleh dikatakan baharu adalah kawasan pelancongan seperti Pantai Bumi Hijau.

"Saya yakin Sabak Bernam akan terus membangun kerana banyak perubahan positif dapat dilihat sejak kebelakangan ini. Hasil petani dan nelayan pun dapat dijual lebih meluas apabila ramai orang luar berkunjung,” katanya kepada Media Selangor.

Image from: Penduduk kagum kemajuan projek majukan Sabak Bernam
Mohd Hafiz Ismail dan isteri Nor Alwani Ahmad Hadi menerima cek cura dalam Program Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Dewan Seri Benam Sungai Besar, Sabak Bernam pada 4 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pembangunan SABDA melibatkan sektor awam dan swasta bernilai RM1.9 bilion yang boleh menjana hasil tahunan sebanyak RM246 juta setahun selain membuka kira-kira 4,000 peluang pekerjaan.

Usahawan nanas, Nurshafiqah Rosdin, 30, pula mendapati SABDA membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk menceburi bidang pertanian sebagai kerjaya dan sumber pendapatan.

Beliau berkata inisiatif itu membuktikan anak muda tidak semestinya bekerja dengan majikan kerana mereka mampu membina perniagaan dan mengembangkan sektor pertanian di daerah tersebut.

“SABDA ini banyak memberi perkembangan positif termasuk membuka peluang pekerjaan buat anak muda, belia di sini saya rasa boleh sahaja bekerja di kampung tanpa perlu ke bandar.

“Walaupun tinggal di Sabak Bernam, kita masih mempunyai ruang berkembang dan memajukan diri. Peluang pekerjaan terutama bidang pertanian juga sudah pasti semakin bertambah,” katanya.

Image from: Penduduk kagum kemajuan projek majukan Sabak Bernam
Nurshafiqah Rosdin

Bagi Junah Osman, 72, pula pembangunan menerusi SABDA membawa perubahan ketara daripada aspek infrastruktur dan kemudahan asas termasuk jaringan jalan raya yang lebih baik.

Beliau berkata SABDA membantu petani, pesawah dan usahawan desa mengembangkan perusahaan masing-masing tetapi berharap pembangunan tidak menghakis identiti kampung di kawasan itu.

“SABDA banyak membuka mata penduduk mengenai potensi daerah ini dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Sebagai pesawah saya berharap juga hasil yang kami keluarkan memberi manfaat setimpal dan dapat dipasarkan tidak hanya di Sabak Bernam sebaliknya lebih meluas,” katanya lagi.

Image from: Penduduk kagum kemajuan projek majukan Sabak Bernam
Junah Osman

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved