Penduduk Kampung Kuil Sikh serah LOD tuntut janji rumah 21 tahun belum tertunai

LocalPolitics
7 May 2026 • 4:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penduduk Kampung Kuil Sikh serah LOD tuntut janji rumah 21 tahun belum tertunai
Ahmad Jufliz (tiga dari kiri) bersama ahli PRM dan penduduk memegang kain rentang di hadapan Pejabat SUK Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Khamis.

SHAH ALAM - Penduduk di Kampung Kuil Sikh di Jalan 8D, Selayang Baru menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada kerajaan Selangor bagi mendesak penyelesaian segera terhadap janji rumah yang belum ditunaikan sejak tahun 2005.

Peguamnya, Ahmad Jufliz Faiza berkata, pihaknya memberi tempoh tujuh hari kepada Pejabat Menteri Besar untuk memberikan maklum balas sebelum tindakan undang-undang lebih besar diambil termasuk kemungkinan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, hasil pertemuan dengan wakil khas Menteri Besar memaklumkan pihak kerajaan negeri memberi indikasi positif untuk berbincang termasuk mempertimbangkan pemberian rumah kepada penduduk terlibat.

"Mereka maklumkan mungkin boleh pertimbangkan rumah Selangorku, cuma ada cadangan lokasi yang jauh seperti Beranang, namun perkara ini perlu dibincang semula kerana melibatkan kesesuaian penduduk," katanya selepas penyerahan LOD dan memorandum di Pejabat Menteri Besar Selangor di sini pada Khamis.

Ahmad Jufliz yang juga Presiden Parti Rakyat Malaysia berkata, isu tuntutan itu telah berlarutan sejak 2005 membabitkan 26 keluarga bersama sebuah kuil Sikh dan tokong, dengan janji asal kerajaan ketika itu untuk menyediakan rumah teres dua tingkat kepada penduduk terlibat dalam proses pengosongan kawasan.

Ahmad Jufliz mendakwa, janji itu turut melibatkan surat tawaran yang dikeluarkan pada ketika itu termasuk bayaran sewa RM500 sebulan selama 60 bulan, namun dakwaan tersebut tidak pernah dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya, selepas beberapa siri peralihan pentadbiran termasuk ketika Amirudin menjadi wakil rakyat kawasan itu sebelum ini, namun ia masih gagal diselesaikan walaupun beliau kini menerajui kerajaan negeri.

Jelas beliau, terdapat unsur kecuaian dalam pengurusan isu tersebut selain menyamakan situasi itu sebagai bentuk pengabaian terhadap golongan setinggan.

"Sehingga kini, kebanyakan penduduk dilaporkan masih menumpang kediaman ahli keluarga serta menyewa rumah lain," tambah beliau.

View Original Article