Penduduk Luar Bandar Bakal Terjejas, Kerajaan Perlu Tangguh Hapus Subsidi Minyak - GPS

2 May 2024 • 8:46 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
gambar hiasan

MIRI - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pemimpin etnik tempatan secara terbuka meminta kerajaan Pusat supaya menimbang semula dan menangguhkan hasrat untuk menghapuskan subsidi bagi minyak RON 95 dan diesel.

ADUN Telang Usan, Dennis Ngau berkata, gesaan itu dibuat kerana rakyat di kawasan luar bandar di Sarawak masih belum bersedia untuk berdepan dengan tindakan itu.

Katanya, ketika ini wujud kebimbangan dalam kalangan penduduk di kawasan luar bandar selepas kerajaan mengumumkan keputusan bagi menghapuskan subsidi minyak.

Ngau yang juga Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Baram ketika ditemui The Vibes berkata, langkah menghapuskan subsidi minyak akan memberi kesan berangkai antara kenaikan harga makanan, barang keperluan harian dan pengangkutan, sekali gus meningkatkan kos sara hidup mereka.

"Maklum balas yang saya terima mendapati penduduk di kawasan luar bandar di negeri ini tidak mahu subsidi minyak dihapuskan.

"Langkah menghapuskan subsidi minyak akan menyumbang kepada kenaikan kos pengangkutan kerana sebahagian besar penduduk miskin masih memerlukan pengangkutan awam.

"Penghapusan subsidi minyak juga akan menyebabkan kenaikan harga bahan makanan seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan lain-lain barang keperluan harian kerana pembekal akan bertindak memindahkan kos itu kepada pengguna.

"Malah, harga gas dalam silinder juga akan meningkat jika syarikat pengangkutan memindahkan kos kenaikan kepada orang ramai.

"Mereka yang bakal terjejas adalah penduduk rumah panjang di luar bandar yang bergantung kepada diesel untuk menjana elektrik menggunakan generator.

"Jadi, ia memberi kesan terhadap kos sara hidup," kata Ngau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak dan Pengerusi Persatuan Kayan Sarawak.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan Pusat supaya mengkaji dengan teliti mengenai kaedah bagi menghapuskan subsidi minyak berkenaan.

"Sarawak dan Sabah masih mempunyai ramai penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan mereka masih belum bersedia untuk berdepan dengan sebarang kenaikan, susulan beban kos sara hidup yang perlu ditanggung ketika ini," katanya. - The Vibes, 2 Mei 2024