Penduduk luar bandar, usahawan mikro disaran manfaatkan e-pembayaran: Timbalan Gabenor BNM

13 Feb 2023 • 4:45 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SUNGAI PETANI: Penduduk luar bandar dan usahawan mikro disaran menggunakan pembayaran secara elektronik atau e-pembayaran yang menawarkan pelbagai manfaat berbanding kaedah pembayaran konvensional.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Marzunisham Omar (gambar) berkata kaedah pembayaran itu perlu dijadikan alternatif kerana ia membantu orang ramai menjimatkan masa dan tenaga untuk melakukan urus niaga dalam dunia digital hari ini.

“Pandemik Covid-19 baru-baru ini telah menunjukkan lebih ramai pengguna dan peniaga mula membiasakan diri menggunakan pelbagai kemudahan e-pembayaran seperti kad debit, kad kredit, kod QR, perbankan internet serta e-dompet.

“Semua urus niaga boleh dijalankan di hujung jari sahaja termasuklah membuat pembayaran bil, pembayaran balik pinjaman dan pemindahan wang kepada anak yang sedang belajar,” katanya semasa berucap melancarkan Program e-Duit Desa di Jeniang, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Muazzam Mohamed dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah Datuk Isahak Murat.

Marzunisham berkata bagi para peniaga pula, e-pembayaran merupakan batu loncatan untuk memajukan perniagaan mereka untuk menjadi lebih berdaya saing.

“Urus niaga dapat direkodkan secara langsung dan ini akan memudahkan pengurusan akaun serta permohonan pinjaman pada masa akan datang. Peniaga tidak perlu bimbang mendapatkan wang kecil untuk pemulangan baki,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas program itu Marzunisham berkata BNM bersama institusi perbankan sentiasa komited dalam memastikan penggunaan e-pembayaran dalam kalangan orang ramai dapat ditingkatkan.

“Penggunaan e-pembayaran di kawasan luar bandar semakin meningkat dan kita akan sentiasa turun padang untuk memastikan peningkatan yang lebih tinggi selain meningkatkan kesedaran agar menggunakan e-pembayaran secara selamat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Muazzam pula berkata, pelaksanaan program e-Duit Desa yang pertama di negeri itu diharap akan dapat merealisasikan hasrat menjadikan daerah ini sebagai Desa Tanpa Tunai. -Bernama