Penduduk merungut gerai di rizab jalan di Puchong Permai ganggu lalu lintas

23 Dec 2022 • 8:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 23 DIS: Rungutan penduduk setempat terhadap penjaja di sepanjang rizab bahu Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai, Puchong antara punca gerai mereka diroboh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata banyak aduan diterima termasuk kesesakan lalu lintas dan isu kebersihan terhadap peniaga berkenaan, sebahagiannya dikesan menyewakan tapak kepada penjaja lain.

Beliau menjelaskan penduduk sekitar kawasan tersebut juga menuduh MBSJ tidak tegas dalam mengambil tindakan terhadap penjaja tersebut meskipun beberapa tindakan diambil sejak 2020.

“Kita ambil tindakan atas pelbagai aduan seperti gangguan trafik dan masalah kebersihan. Akhirnya, kita terpaksa kuat kuasa tindakan perobohan yang telah beberapa kali tertangguh sebelum ini,” katanya kepada Selangorkini.

Rabu lalu, MBSJ meroboh 25 binaan tanpa kebenaran di sepanjang rizab bahu jalan berkenaan dan menawarkan tapak niaga dan medan selera kepada penjaja tersebut di Dataran Niaga Puchong Permai.

Johary percaya perniagaan mereka tidak terjejas berikutan pelbagai kemudahan disediakan di dataran berkenaan yang terletak hanya 300 meter dari tapak asal pada kadar sewa petak RM30 sebulan untuk satu daripada tiga sesi.

“Amat dekat. Saya rasa ia tidak akan menjejaskan perniagaan mereka kerana pelanggan terdiri daripada penduduk setempat.

“Malah, kemudahan di situ juga lebih baik kerana ada banyak tempat letak kenderaan yang menjamin keselesaan pengunjung,” katanya.

image is not available