Penduduk Palestin berjuang demi buah zaitun

WorldPolitics
17 Oct 2026 • 7:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penduduk Palestin berjuang demi buah zaitun
Kebanyakan petani Palestin memulakan tuaian buah zaitun lebih awal demi menyelamatkan hasil tanaman mereka. - AFP
Image from: Penduduk Palestin berjuang demi buah zaitun
Buah zaitun dituangkan ke dalam mesin untuk diproses di sebuah kilang al-Zawayda, tengah Gaza. - AFP
Image from: Penduduk Palestin berjuang demi buah zaitun
Pelampau Yahudi bersenjata sengaja mencetuskan kekacauan di ladang zaitun di perkampungan Idna berhampiran bandar Hebron. - AFP
Image from: Penduduk Palestin berjuang demi buah zaitun
Seorang petani berusaha memadamkan kebakaran yang dicetuskan pelampau Yahudi di sebuah ladang pertanian di perkampungan Asira al-Qibliya, selatan Nablus. - AFP

BURQA - Petani Palestin, Abdellatif Bazzari dengan mata lebam dan wajah berbalut hanya mampu memandang sayu deretan pokok zaitunnya yang baru dipetik separuh sedangkan musim menuai rasmi masih belum bermula.

Bazzari cedera akibat serangan dilancarkan pelampau Yahudi di ladangnya yang turut meragut nyawa sepupunya, Ali Bazzari. Insiden keganasan pada minggu lalu itu meninggalkan trauma mendalam hingga dia bimbang untuk kembali ke ladang.

Seperti kebanyakan petani Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel, Bazzari mengambil keputusan memulakan tuaian lebih awal demi menyelamatkan hasil tanaman dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa serangan ganas puak ekstremis Yahudi.

**media[3680612]**

Namun, usaha itu tidak menjamin keselamatan mereka di tengah-tengah ketegangan politik semakin memuncak menjelang Pilihan Raya Umum Israel pada 27 Oktober ini. Sebahagian petani bimbang keganasan akan terus meningkat memandangkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berusaha mempertahankan sokongan pengundi berhaluan kanan.

“Netanyahu seboleh-bolehnya mahu menjaga hati puak itu dan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang sengaja mengganggu ketenteraman kami,” katanya yang berharap keadaan akan bertambah baik sekiranya pemimpin veteran itu tewas dalam pemilihan tersebut.

Bagi penduduk Palestin, buah zaitun bukan sekadar sumber pendapatan malah menjadi lambang identiti, warisan turun-temurun dan ikatan mendalam mereka dengan tanah air.

Industri buah zaitun menyumbang kira-kira 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian di Tebing Barat.

Pada 7 Oktober lalu, kumpulan terdiri daripada 15 hingga 20 pelampau Yahudi bertindak menyerbu ladang ketika Bazzari dan keluarganya sedang memetik buah zaitun secara manual. Mereka dipukul tanpa belas kasihan sebelum tentera rejim Zionis campur tangan dan menembak mati sepupunya, Ali Bazzari.

**media[3680613]**

"Darahnya membasahi tanah di sekeliling pohon zaitun menyatu dengan bumi yang menyimpan seribu kesedihan," ujarnya dalam nada hiba.

Bagi petani Palestin seperti Bazzari, keselamatan mereka ketika di ladang pertanian semakin terancam dek peluasan projek penempatan haram Israel di wilayah berkenaan.

“Mereka tidak mahu kami menanam atau mengusahakan apa-apa. Tetapi, kami tetap akan berjuang melindungi hak kami,” menurutnya.

Musim menuai zaitun yang berlangsung lebih sebulan biasanya menjadi detik berharga buat penduduk Palestin berkumpul bersama keluarga, rakan dan pekerja untuk memetik hasil tanaman.

Kementerian Pertanian Palestin merekodkan 300 insiden melibatkan keganasan ekstremis Yahudi di ladang zaitun sepanjang musim luruh meskipun musim menuai rasmi hanya bermula pada Khamis.

Sementara itu, kumpulan hak asasi Israel, Yesh Din melaporkan kira-kira 100 kes kecurian hasil zaitun termasuk tindakan puak pelampau Yahudi merampas guni hasil tuaian.

**media[3680618]**

Bagi Bazzari dan ribuan petani Palestin, musim menuai kali ini bukan sekadar usaha mengutip hasil pertanian malah menjadi perjuangan mempertahankan sumber rezeki mereka.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved