Penduduk Pedalaman Sabah Sarawak Cekal Tempuh Jalan Jauh Untuk Ke Klinik Kesihatan

15 Dec 2024 • 1:24 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Bukan meromantiskan situasi, tetapi bukti bahawa kesihatan adalah satu prioriti bagi penduduk pedalaman

Penduduk Pedalaman Sabah Sarawak Cekal Tempuh Jalan Jauh Untuk Ke Klinik Kesihatan. Baru-baru ini, kisah seorang bapa yang tidak mampu membawa isterinya yang sedang mengandung ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan ibu mengandung tular di media sosial. Insiden ini akhirnya membawa kepada insiden serius kepada bayi mereka di sebuah pusat bersalin swasta.

Kisah ini mencetuskan pelbagai reaksi, daripada rasa simpati terhadap cabaran keluarga tersebut hinggalah kepada kritikan tentang prioriti dan kesedaran dalam mendapatkan rawatan kesihatan. Umumnya, rawatan kesihatan untuk ibu mengandung di seluruh klinik kesihatan kerajaan di Malaysia adalah percuma.

image is not available
Penduduk Pedalaman Sabah Sarawak Cekal Tempuh Jalan Jauh Untuk Ke Klinik Kesihatan. Gambar sekadar hiasan.

Namun, di sebalik perdebatan tersebut, muncul satu perbandingan menarik yang diketengahkan oleh netizen. Kisah ini dikaitkan dengan kecekalan masyarakat pedalaman di Sabah dan Sarawak yang menghadapi situasi sukar – lebih parah, hampir setiap hari dan barangkali selama bergenerasi lamanya.

Bezanya, mereka tidak menjadikan kesempitan wang sebagai alasan untuk melengahkan rawatan kesihatan asas, terutamanya pendaftaran rawatan ibu mengandung di klinik kesihatan kerajaan.

Penduduk pedalaman sanggup tempuh perjalanan berjam-jam untuk rawatan di klinik kesihatan

Seorang doktor yang pernah bertugas di pedalaman Sarawak menceritakan bagaimana penduduk di sana sanggup menempuh perjalanan berjam-jam, menaiki bot dan sampan, bahkan bermalam di luar kawasan demi mendapatkan perkhidmatan klinik kesihatan kerajaan. Mereka sedar bahawa walaupun perjalanan itu sukar, risiko kehilangan nyawa jauh lebih besar jika rawatan ditangguhkan.

image is not available
Sumber: Facebook

Situasi ini serupa di Sonsogon Magandai, Sabah, di mana penduduk juga menunjukkan kecekalan luar biasa. Bayangkan keadaan jalan yang tidak sempurna, ketiadaan kemudahan asas, dan perjalanan panjang yang memenatkan – semuanya dihadapi demi mendapatkan rawatan yang diperlukan.

image is not available
Sumber: X

image is not available
Sumber: X

Jika mereka yang hidup dalam kemiskinan tegar dan menghadapi cabaran logistik yang hebat mampu menunjukkan dedikasi sedemikian, mengapa kisah seperti si bapa tadi masih berlaku?

Menilai antara prioriti dan keadaan

Kita sering menganggap kemiskinan sebagai alasan utama untuk kegagalan mendapatkan rawatan. Namun, kisah dari pedalaman Sabah dan Sarawak menunjukkan bahawa kekangan kewangan bukanlah satu-satunya faktor. Sikap, keutamaan, dan kesungguhan memainkan peranan besar dalam memastikan kesejahteraan keluarga.

Pelajaran untuk bakal ibu bapa

Kisah ini seharusnya membuka mata masyarakat bandar, yang sering kali mempunyai akses mudah kepada klinik kesihatan tetapi tetap memilih untuk alternatif sendiri kerana alasan seperti kekurangan masa atau sumber kewangan, sedangkan ada lagi penduduk di ceruk lain di Malaysia yang lebih sukar keadaannya.

Penduduk di kawasan pedalaman Sabah Sarawak tentunya lebih berhak mendapatkan infrastruktur asas yang lebih baik daripada ini. Soalannya kini bukan hanya pada siapa yang lebih mampu, tetapi siapa yang lebih peduli. Jika masyarakat pedalaman boleh menunjukkan dedikasi sedemikian, apa alasan kita yang tinggal di kawasan berdekatan bandar, untuk gagal melakukannya?

Bukan setakat klinik, anak-anak pedalaman juga sanggup berjalan kaki sejauh satu jam untuk ke sekolah di Beluran, Sabah