Penduduk Pulau Pinang diminta kurangkan guna air 10 peratus - PBAPP

6 Apr 2024 • 5:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN - Penduduk di Pulau Pinang dinasihatkan agar mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus mulai bulan ini sehingga Jun, bagi memastikan bekalan air di negeri itu mencukupi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata, pengguna juga dinasihatkan supaya berhemat menggunakan air sehingga hujan tiba, bagi menambah simpanan air mentah Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

"Pada Mac lepas, PBAPP merekodkan 66.5 milimeter (mm) hujan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam dan telah berusaha untuk menstabilkan kapasiti efektif empangan ini, melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP2024).

"Kapasiti efektik empangan turun dua peratus dalam tempoh 31 hari, sementara kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang turun 11 peratus dalam tempoh sama dan taburan hujan yang direkodkan di KTA Empangan Teluk Bahang ialah 133mm pada Mac,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pathmanathan berkata, kapasiti efektif maksimum Empangan Teluk Bahang ialah 18,240 juta liter (ML) manakala kapasiti efektif Empangan Air Itam ialah 2,160ML.

"METMalaysia meramalkan hujan sederhana untuk Pulau Pinang pada April, Mei, Jun dan Julai ini.

"Bagaimanapun, ini adalah ramalan dan kita tidak pasti bahawa hujan sebenar akan mencukupi untuk meningkatkan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang dengan ketara,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28