
RANAU: Komuniti Kampung Rumantai di sini menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat pembinaan menghentikan pencabulan hak asas air mereka selepas mendakwa projek Pan Borneo memusnahkan kawasan tadahan air bersih mereka.
Bagi penduduk, air bukan sekadar komoditi; ia adalah nadi kehidupan yang telah mengalir melalui sistem graviti sejak turun-temurun. Namun sejak Oktober 2025, nadi kehidupan itu mula tercemar dan rosak akibat lumpur dan batu.
Kehadiran projek perluasan Lebuhraya Pan Borneo yang sepatutnya membawa kemajuan, kini sebaliknya mengancam sumber air bersih komuniti Orang Asal di Rumantai.
Jurucakap mewakili penduduk Kampung Rumantai yang terjejas, Wilson Kulong berkata semuanya bermula dengan jaminan rasmi melalui surat dan mesyuarat bersama, namun perkara sebaliknya berlaku di lapangan.
“Menerusi surat daripada Jabatan Kerja Raya Sabah bertarikh 24 Januari 2025, penduduk dimaklumkan bahawa kawasan tadahan air mereka tidak akan terjejas kerana tidak berada dalam laluan projek. Malah, tinjauan bersama pada 22 Januari 2025 antara Jabatan Kerja Raya, JPKKK dan pasukan projek WP33 mengesahkan perkara itu.
“Bagaimanapun, realiti di lapangan Rumantai menceritakan perkara berbeza. Sejak Oktober lalu, jentera berat milik syarikat swasta yang mengendalikan kerja pembinaan jalan mula memusnahkan kawasan tadahan air.
“Aktiviti pembalakan dan pembersihan tanah secara drastik menyebabkan pencemaran air melampau — keruh, berlumpur dan tidak lagi selamat digunakan sepenuhnya, apatah lagi untuk diminum.
“Infrastruktur paip graviti yang dibina hasil titik peluh penduduk kampung Rumantai dengan sumbangan Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah turut musnah sehingga bekalan air terancam sepenuhnya hampir enam bulan,” katanya.
Wilson berkata penduduk turut keliru dengan “lakonan” dipamerkan pihak berkaitan yang menghentikan kerja pada siang hari, namun menjalankan operasi “tidak kelihatan” pada waktu malam.
Menurutnya, satu sesi perbincangan diadakan pada pagi 5 Mei 2026 di Tapak WP33 Kg Taviu bersama JKR, syarikat terbabit dan komuniti Rumantai bagi mencari penyelesaian.
“Syarikat itu sebagai kontraktor secara lisan bersetuju menghentikan kerja penambakan di kawasan sensitif. Namun apa yang berlaku selepas itu adalah penghinaan terhadap kepercayaan penduduk.
“Kira-kira jam 7.34 malam pada hari sama, ketika penduduk kampung mula berehat, bunyi jentera kembali bergema. Syarikat itu dilihat meneruskan kerja menimbus tanah dan batu di kawasan tadahan air dalam suasana gelap, dan difahamkan berterusan sehingga jam 3 pagi.
“Ini bukan sekadar kerja pembinaan; ini adalah cubaan memusnahkan bukti dan sumber alam secara senyap,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Yairman Anjinin mendedahkan hasil pemerhatian terhadap syarikat terbabit mendapati ia menggunakan pekerja tanpa dokumen dan jentera “haram”.
“Kebimbangan penduduk semakin meningkat apabila melihat tenaga kerja di lapangan. Komuniti kami mendakwa kebanyakan pekerja yang digunakan syarikat itu adalah warga asing dari China yang disyaki tidak memiliki dokumen sah.
“Kehadiran mereka yang sukar berkomunikasi menyebabkan sebarang urusan di tapak menjadi sukar. Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan sebahagian jentera berat digunakan tidak mempunyai permit atau pendaftaran sah daripada pihak berkuasa,” katanya.
Yairman menambah, satu lagi isu ialah konflik kepentingan dan demokrasi tempang. Katanya, ketika penduduk bergelut dengan kemusnahan fizikal, mereka juga berdepan kepincangan kepimpinan.
“Pelantikan PJKKK baharu oleh Wakil Rakyat Paginatan melalui sokongan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Paginatan dibuat tanpa melalui proses demokrasi kampung yang telus.
“Pemimpin yang dilantik secara terus itu bukan sahaja gagal bekerjasama dengan majoriti komuniti, malah didapati merupakan salah seorang pekerja syarikat swasta yang mengendalikan kerja pembinaan jalan itu sendiri.
“Terdapat konflik kepentingan yang jelas apabila individu yang sepatutnya mempertahankan hak penduduk kini duduk semeja dengan pihak yang memusnahkan kawasan tadahan air mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Wilson dan Yairman merayu pihak berkuasa agar tidak membiarkan penduduk di sini mati kehausan atau minum air kotor.
Menurut mereka, komuniti Kampung Rumantai, Ranau kini berdiri teguh dengan satu suara menuntut tindakan segera jangka pendek diambil, iaitu syarikat swasta terbabit mesti menghantar bekalan air bersih setiap hari tanpa gagal dan tanpa alasan.
Jangan biarkan penduduk menderita selepas sumber asal mereka dimusnahkan, kata mereka.
Bagi penyelesaian jangka panjang, mereka meminta Jabatan Perhutanan Sabah mempercepat kelulusan tapak tadahan air baharu yang telah dikenal pasti penduduk supaya syarikat pembinaan boleh memulakan pembinaan semula infrastruktur yang rosak sebagai pampasan penuh.
“Penguatkuasaan undang-undang perlu ditegakkan di mana Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa berkaitan perlu menyiasat status pekerja asing dan permit jentera di tapak WP33.
“Pemulihan demokrasi juga perlu dilaksanakan. Kami menggesa kepimpinan kampung dipilih semula secara adil bagi memastikan suara penduduk tidak lagi diketepikan demi kepentingan peribadi.
“Walaupun Pegawai Kesihatan Daerah Ranau telah memberi sokongan penuh terhadap keperluan penduduk mendapatkan bekalan air bersih, tanpa tindakan tegas daripada pemaju dan agensi berkaitan, sokongan itu hanya tinggal kata-kata.
“Kami tidak menolak pembangunan, tetapi kami menolak pembangunan yang dibina atas kemusnahan hak asasi dan kehidupan kami,” tegas mereka.
