Penduduk rayu pagar elektrik diperluas

LocalEnvironment
18 Nov 2026 • 7:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penduduk rayu pagar elektrik diperluas
Penduduk kerap terserempak dengan gajah di jalan kampung. Foto Janaan AI

JELI – Penduduk di 20 kampung di daerah ini merayu supaya pemasangan pagar elektrik diperluas bagi membendung ancaman gajah liar yang semakin kerap memasuki kawasan penempatan dan kebun sehingga mengancam keselamatan serta menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Penghulu Mukim Sungai Long, Wan Azman Wan Musa berkata, peluasan jajaran pagar elektrik antara langkah utama diharapkan penduduk bagi mengurangkan risiko pencerobohan gajah liar, khususnya di kawasan yang masih belum dilengkapi kemudahan perlindungan itu.

Menurutnya, gangguan gajah yang berlarutan sejak lebih sedekad lalu kini semakin membimbangkan apabila haiwan berkenaan bukan sahaja memusnahkan tanaman, malah semakin kerap berkeliaran berhampiran kediaman penduduk sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

“Penduduk berharap kawasan yang belum mempunyai perlindungan pagar elektrik dapat diberi perhatian supaya ancaman gajah tidak terus berulang.

“Masalah ini sudah berbelas tahun berlaku dan sekarang semakin kerap. Ada penduduk yang bangun pagi mendapati tanaman mereka sudah dimusnahkan gajah,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Wan Azman berkata, penduduk turut mencadangkan agar laluan Gunung Reng-Sungai Long ditutup pada waktu malam bagi mengelakkan risiko terserempak dengan gajah liar yang kerap melintasi jalan berkenaan.

“Kami juga nak sarankan pada pihak berkuasa untuk menutup laluan ini pada waktu malam kerana berbahaya gajah melintas,” katanya.

Menurut beliau, keadaan jalan gelap dan berselekoh turut meningkatkan risiko kemalangan sehingga menyebabkan sebahagian penduduk memilih mengelak menggunakan laluan berkenaan pada waktu malam.

Katanya, selain memperluas pemasangan pagar elektrik, usaha menangani konflik manusia-gajah turut memerlukan kerjasama lebih erat antara penduduk dengan agensi berkaitan, khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Sehubungan itu, beliau berkata, penduduk mengambil inisiatif menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras aduan, mengumpul pandangan serta merangka langkah penyelesaian secara lebih sistematik.

“Penduduk sendiri mengambil inisiatif menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras usaha menangani masalah ini.

“Kami mahu usaha ini lebih tersusun supaya masalah yang dihadapi penduduk dapat dibawa kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut dan penyelesaian,” katanya yang dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Antara 20 kampung yang terjejas akibat konflik manusia-gajah itu ialah Batu Melintang, Sungai Long, Salor, Batu Enam, Gunung Reng, Belimbing, Jerek, Lawar dan Bukit Ipoh.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved