Penduduk resah lembu cemari kediaman, rosak tanaman

4 Feb 2023 • 11:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lembu-lembu turut membuang najis di sekitar rumah penduduk.

image is not available
Penduduk di Kampung Bechah Kida, Tok Uban, Pasir Mas resah memikirkan masalah lembu berkeliaran yang mengganggu kehidupan mereka.

PASIR MAS - Penduduk di Kampung Bechah Kida, Tok Uban di sini resah memikirkan masalah lembu berkeliaran yang mengganggu kehidupan mereka.

Memburukkan lagi keadaan, kumpulan lembu tersebut turut membuang najis di kawasan kediaman penduduk.

Wakil penduduk, Rosnani Musa, 51, berkata, masalah tersebut sudah berlarutan sejak Mac lalu.

"Kami sudah membuat laporan kepada pelbagai pihak, namun sehingga kini masalah tersebut masih belum selesai.

"Pernah sekali kami cuba menambat lembu-lembu yang berkeliaran ini, namun pada sebelah malamnya pemilik haiwan itu telah datang melepaskan lembu tersebut," katanya.

Menurut dia, selain najis bersepah, lembu tersebut juga turut menjadikan kediaman penduduk sebagai 'kandang'.

Dia yang merupakan suri rumah berkata, penduduk kini terpaksa berdepan dengan bau yang tidak menyenangkan berpunca daripada najis lembu.

Abdullah Hamzah, 50, seorang orang kurang upaya (OKU) memberitahu, kehadiran lembu tersebut bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian dia dan keluarga tetapi turut merosakkan tanaman yang ada.

"Banyak pokok kami mati akibat 'serangan' lembu tersebut.

"Kami merayu kepada pihak berkuasa, agar dapat membantu menyelesaikan masalah ini dengan segera," katanya.