Penduduk Subang Boleh Manfaatkan Pengecas DC ChargeSini di NU Empire – Dari RM1.39/kWj

LocalTechnology
29 Sep 2024 • 8:00 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

ChargeSini bakal melancarkan stesen pengecas EV terbaru di pusat beli belah NU Empire,Subang Jaya. Kedudukan pengecas ini cukup strategik, memudahkan pemilik kenderaan elektrik (EV) di sekitar kawasan tersebut untuk mengecas EV mereka tanpa perlu memandu jauh ke lokasi pengecasan pantas (DC) lain seperti di Glenmarie.

Beli Belah atau Bersantai Sementara Menanti EV Dicas

image is not available

Semasa menunggu kenderaan dicas, pengguna boleh mengambil kesempatan untuk menikmati kemudahan di pusat beli belah ini, antaranya membeli-belah di Jaya Grocer atau menjamu selera di pelbagai restoran dan kafe yang terletak di tingkat yang sama dengan stesen pengecasan.

Stesen pengecasan ChargeSini di NU Empire terletak di tingkat LG, berdekatan dengan Tiang A15, berhampiran restoran Nyonya Colours. Stesen ini dilengkapi dengan dua pengecas DC 60 kW SangiTech, yang setiap satunya mempunyai dua nozel sambungan CCS2. Menurut PlugShare, jika kedua-dua nozel digunakan secara serentak, kuasa akan dibahagikan kepada 30 kW bagi setiap kenderaan.

Keselamatan Terjamin

image is not available

Stesen ini juga mematuhi garis panduan terkini petak pengecasan kenderaan elektrik (EVCB) yang ditetapkan oleh PLANMalaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), yang menekankan jarak yang sesuai antara petak pengecasan dan kawasan parkir awam. Buat masa ini, stesen ini sedang menantikan kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) sebelum boleh beroperasi.

Kadar Pengecasan

image is not available

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan dalam aplikasi ChargeSini, kadar pengecasan di lokasi ini adalah RM1.39 setiap kWj, dengan bayaran minimum RM5. Pengguna juga diberikan tempoh kelonggaran selama 15 minit selepas pengecasan selesai untuk memindahkan kenderaan. Jika lebih daripada masa tersebut, caj "idle" sebanyak RM2 akan dikenakan bagi setiap 5 minit berikutnya. Caj parkir di pusat beli belah ini adalah RM3 untuk jam pertama dan RM1 bagi jam seterusnya.

Hanya untuk Pengguna EV

Seperti stesen ChargeSini yang lain, semua petak pengecasan di sini dilengkapi dengan penghadang parkir automatik untuk menghalang kenderaan bukan elektrik atau ICEing daripada parkir di ruang tersebut. Penghadang ini hanya boleh diturunkan dengan pengaktifan sesi pengecasan melalui aplikasi ChargeSini.

image is not available

Agmo mendedahkan bahawa, ChargeSini kini mengendalikan lebih 870 titik pengecasan di 283 stesen di seluruh negara, menjadikan syarikat ini sebagai operator titik pengecasan (CPO) di Malaysia dengan pelancaran jumlah palam pengecas terbesar di dalam negara.