
BANDA ACEH: Ribuan penduduk di Sumatera masih bergelut membina semula kehidupan setahun selepas banjir besar memusnahkan kediaman dan sumber pendapatan mereka, dengan sebahagian mangsa mendakwa bantuan kerajaan masih belum mencukupi.
Di wilayah Aceh, Asmiati, 63, masih tinggal di sebuah pondok kayu serba kekurangan bersama suami dan empat anggota keluarga lain sementara menunggu rumah baharu yang dijanjikan kerajaan.
Pondok itu dibina menggunakan kayu, kadbod dan zink sumbangan saudara-mara serta rakan, manakala mereka terpaksa memasak dan membersihkan diri di kawasan luar kediaman berkenaan.
“Saya kecewa dengan kerajaan. Seolah-olah tiada siapa yang mengambil berat tentang nasib kami,” kata Asmiati yang kini memperoleh pendapatan kurang AS$3 (RM12) sehari dengan menghasilkan penyapu daripada sabut kelapa.
Dia dan suaminya turut kehilangan pekerjaan dalam sektor pembinaan, manakala kebun limau bali yang menjadi sumber pendapatan tambahan keluarga musnah dihanyutkan banjir.
Menurut Asmiati, bantuan seperti beras dan minyak masak hanya diterima pada peringkat awal selepas bencana, meskipun kerajaan sebelum ini menjanjikan bantuan kewangan untuk membaiki atau membina semula rumah.
Banjir yang melanda barat laut Sumatera tahun lalu mengorbankan kira-kira 1,200 nyawa, menyebabkan lebih dua juta penduduk berpindah serta memusnahkan atau merosakkan lebih 200,000 rumah.
Namun, selepas 11 bulan, kurang satu perempat daripada penduduk yang layak dilaporkan menerima bantuan kewangan antara 15 juta hingga 70 juta rupiah (RM3,900 hingga RM18,100) bagi setiap isi rumah.
Di Aceh, kurang daripada 2,000 rumah berjaya dibina daripada kira-kira 50,000 rumah yang diperlukan, menurut Ketua Pasukan Petugas Pembinaan Semula Kerajaan Wilayah, Safrizal Zakaria Ali.
Kelewatan pemulihan turut mendorong penduduk di Mesidah bergotong-royong membaiki jalan yang menghubungkan 14 kampung selepas laluan itu rosak akibat banjir. Kira-kira 700 penduduk mengumpulkan 80 juta rupiah (RM18,072) untuk membeli bahan binaan dan peralatan.
Kerajaan Indonesia memperuntukkan lebih 100 trilion rupiah (kira-kira RM22.6 bilion) bagi tempoh tiga tahun untuk pemulihan di tiga wilayah Sumatera.
Presiden, Prabowo Subianto berkata, banyak kawasan di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara sudah menunjukkan pemulihan sejak beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, penduduk dan kumpulan masyarakat sivil berpendapat usaha bantuan masih terlalu perlahan, selain menggesa kerajaan memberi perhatian kepada langkah pencegahan banjir seperti membersihkan mendapan sungai dan membaiki benteng.- AFP
The post Penduduk Sumatera kecewa nasib tidak dipeduli appeared first on Utusan Malaysia.




