
KUALA LUMPUR – Keresahan penduduk Taman Setia, Gombak, Selangor terhadap keselamatan mereka selepas ‘boom gate’ yang dipasang dicabut Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berakhir, apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengeluarkan surat kelulusan penggunaan pagar keselamatan terbabit hari ini.
Pengarahnya, Norazam Khamis, berkata isu itu timbul disebabkan masalah komunikasi antara beberapa pihak, namun sudah pun diselesaikan secara berhemah.
Menurutnya, sebaik menerima aduan daripada penduduk berhubung isu tersebut minggu lalu, pihaknya segera menghantar pegawai untuk membuat penelitian terhadap pemasangan pagar keselamatan berkenaan.
“Berdasarkan laporan pegawai terbabit, tiada masalah untuk Bomba Selangor mengeluarkan surat kelulusan kepada Badan Kebajikan Perwira Setia Indah Gombak (BKPSIG) untuk menggunakan ‘boom gate’ berkenaan.
“Bagaimanapun, kami menasihatkan supaya penduduk tidak memasang pagar terbabit tidak terlalu rendah kerana ia akan menyulitkan kerja pihak bomba jika berlaku sebarang kecemasan di kawasan terbabit,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi hari ini.
Norazman turut memberikan salinan surat sokongan permohonan kawalan keselamatan penduduk BKPSIG kepada Getaran untuk rujukan.
Dalam surat tersebut, Ketua Zon 6 JBPM Selangor, Samsol Maarif Saibani dilaporkan berkata, pihaknya menerima surat daripada BKPSIG pada 26 Ogos lalu berhubung permohonan terbabit.
“Untuk makluman pihak tuan, jabatan ini telah membuat pemeriksaan ke lokasi pada 22 Ogos lalu dan mendapati laluan masuk setiap pintu pos pengawal di Taman Perwira Setia Gombak boleh dilalui oleh jentera bomba dengan keadaan selamat.
“Dengan ini, pihak bomba tiada halangan / menyokong sekiranya pondok pengawal tersebut dibina dan perlu ada pengawal keselamatan yang bertugas setiap masa untuk keselamatan penduduk, serta memudahkan jentera bomba masuk sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
JBPM Selangor turut menghantar satu salinan surat sokongan tersebut kepada MPS untuk kelulusan mereka.
Sementara itu, Yang Dipertua BKPSIG, Azri Shamsul Zaralul mengucapkan terima kasih kepada JBPM Selangor dan Getaran yang mengenengahkan isu tersebut sehingga ia dianggap selesai.
“Alhamdulillah, kes tersebut sudah selesai, terima kasih Bomba Selangor dan Getaran kerana membantu dalam menyelesaikan isu ini.
“Kami sedia mematuhi sebarang nasihat daripada pihak bomba supaya tiada masalah timbul di kemudian hari,” katanya.
Minggu lalu, Getaran melaporkan, MPS terpaksa mencabut sementara ‘boom gate’ atau pagar keselamatan automatik di Taman Setia, Gombak, Selangor selepas penggunaannya masih tidak mendapat kelulusan JBPM.
Tindakan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati dan kegusaran dalam kalangan penduduk berhubung keselamatan mereka, susulan kes jenayah yang berlaku.
Sebanyak RM50,000 dibelanjakan penduduk untuk memasang ‘boom gate’ berkenaan di lapan laluan ‘keluar masuk’ taman perumahan tersebut, sebelum ia dicabut.
Pemasangan pagar keselamatan itu merangkumi tiga taman di lokasi terbabit iaitu Taman Perwira, Taman Setia dan Taman Perwira Indah yang mempunyai keseluruhan 230 kediaman. – Getaran, 29 Ogos 2022

