Penduduk di Terengganu diberi peringatan untuk bersiap sedia menghadapi banjir gelombang ketiga yang dijangka berlaku pada hari esok. Fenomena ini disebabkan oleh air pasang besar dan hujan lebat berterusan yang diramalkan sehingga Khamis ini.
Menurut Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat, penduduk yang menetap dalam lingkungan lima kilometer dari lembangan sungai utama di daerah Kemaman, Besut, Setiu, dan Hulu Terengganu berisiko tinggi untuk terjejas.
Jadi penduduk dinasihatkan sentiasa berwaspada selain mendengar arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh tersebut.
Lokasi berisiko banjir dikenalpasti
Gambar Hiasan
Antara lokasi berisiko terjejas banjir di daerah Besut adalah kawasan seperti Kampung Pok Sik, Kampung Belaoh, Felcra Keruak, Kampung La, Chegar Batang, Pasir Akar, Jerubun, Bukit Payung, dan Batu 13.
Manakala di daerah Kemaman pula, lokasi yang berkemungkinan terjejas adalah Padang Kubu, Pelantoh, Kampung Tebak, Batu 16 Tebak dan Kampung Sungai Mas.
Di Hulu Terengganu, penduduk Paloh Nyior, Bukit Taduk, Kampung Matang, Kepah, Pasir Dula; Tengkawang; Kuala Ping; Tok Law-it, Nibong, Kuala Telemong juga dinasihatkan supaya berwaspada.
Selain itu, kawasan lain di Hulu Terengganu yang turut berisiko ialah Sekayu, Pelandan, Cheting, Menjing, Durian Bador, Padang Setar, Kampung Pengkalan Ajal, Paya Besar; Menerong, Kua, Peneh, PPSK Gunung Menerong, Lenjang dan Kampung Betong.
Di Setiu pula, Kampung Langkap, Kampung Chalok Kedai, Batu 29, Gong Terap, Lubuk Panjang dan Felda Kampung Rahmat dikhuatiri dilanda banjir.
#OhmediaNasihat
Banjir adalah bencana alam yang boleh berlaku tanpa diduga. Justeru itu, penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan untuk bersedia lebih awal, memastikan dokumen penting dan barangan berharga disimpan di tempat selamat.
Selain itu, mereka perlu sentiasa memantau arahan terkini daripada pihak berkuasa. Keselamatan keluarga perlu diberi keutamaan.