
Penebangan Pokok Berisiko: 100 Pokok Baharu Wajib Ditanam Semula – Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur supaya wajib menanam semula 100 pokok baharu bagi menggantikan pokok yang akan ditebang.
Beliau berkata sedemikian sebagai respon kepada penebangan pokok yang berisiko tinggi yang akan dilakukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan dua insiden pokok tumbang baru-baru ini.
“Saya telah memberi arahan kepada Dato Bandar iaitu bagi setiap pohon yang terpaksa dipotong, 100 pokok baharu wajib ditanam semula,” katanya menerusi laman X.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata DBKL juga diarahkan untuk menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu berkaitan pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka siap pada Julai ini bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
“Bagi memastikan kelestarian alam terus dijaga dan diberi perhatian, DBKL juga perlu memperincikan program penggantian semula pokok termasuk dengan meneliti kaedah-kaedah bagi memastikan pokok tersebut utuh dan selamat untuk jangka masa panjang,” katanya.
Inisiatif ini dilakukan selepas kejadian pokok tumbang itu yang meragut nyawa seorang lelaki dan menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail pada 7 Mei.
Manakala pada Isnin lalu, insiden kedua pula berlaku di Jalan Pinang berhadapan Kuwait Bank. Pokok tersebut juga hampir mengenai kenderaan yang membawa Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sumber: Anwar Ibrahim, Bernama
The post Penebangan Pokok Berisiko: 100 Pokok Baharu Wajib Ditanam Semula – Anwar appeared first on Siakap Keli.
