Penempatan usang didiami PATI diserbu

6 Jun 2026 • 12:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penempatan usang didiami PATI diserbu
Antara warga asing yang diperiksa dalam Op Sapu di kawasan penempatan di Jalan Klang Lama pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Biar pun usang, namun kerana bayaran sewa murah selain kedudukannya agak tersorok antara sebab kawasan rumah setinggan di Jalan Klang Lama di sini menjadi pilihan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Bagaimanapun, penempatan itu berjaya digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menerusi Op Sapu pada Sabtu.

Operasi bermula jam 1.30 pagi itu bertindak memeriksa 40 unit rumah.

Ketika diserbu, ada cubaan segelintir warga asing melarikan diri dan menyorok kononnya bagi mengelak ditahan JIM.

Difahamkan, rata-rata penduduk menyewa bermula RM200 bagi sebuah bilik dan mencecah RM500 bagi sebuah rumah yang majoriti diduduki warga Indonesia, sebilangan kecil warga Myanmar dan penduduk tempatan.

Kawasan itu juga lengkap dengan surau dan kedai runcit selain kemudahan asas seperti air, elektrik.

Difahamkan juga, terdapat juga aktiviti rumah judi dalam talian di kawasan terbabit.

Penempatan itu menjadi tarikan warga asing termasuk PATI dan orang tempatan yang bekerja di kawasan sekitar untuk menyewa di kawasan itu.

JIM Kuala Lumpur memaklumkan, seramai 78 termasuk 30 wanita disyaki PATI telah ditahan hasil pemeriksaan 200 individu.

"Tangkapan melibatkan 71 warga Indonesia, enam Myanmar dan seorang India," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan mendakwa sudah menyewa di kawasan itu sejak 30 tahun lalu dengan bayaran sewa RM500.

“Di sini ada orang Indonesia Myanmar ada orang kita pun ada," kata wanita berusia lingkungan 50-an itu.

View Original Article