Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuka satu kertas integriti berkaitan penemuan 12 keping pasport bersama pegawai imigresen di Terminal 2 KLIA.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata,pihak pengurusan JIM KLIA telah mengambil tindakan awal dengan menukarkan pegawai terbabit ke Depot Imigresen KLIA sementara siasatan integriti dilaksanakan.
“Pihak Jabatan mengesahkan bahawa telah menemui 12 keping pasport asing pada badan seorang pegawai imigresen di Pejabat Operasi Terminal 2 KLIA pada 1 Januari 2025. Laporan polis telah dibuat pada 7 Januari 2025 dan telah diklasifikasikan sebagai tindakan Jabatan.
“Satu kertas siasatan integriti telah dibuka dan pihak pengurusan JIM KLIA telah mengambil tindakan awal dengan menukarkan pegawai terbabit ke Depot Imigresen KLIA sementara siasatan integriti dilaksanakan,” katanya.
Bagaimanapun ujarnya, pegawai berkenaan tidak hadir melaporkan diri ke tempat bertugas yang baharu sehingga kini dan proses siasatan integriti masih dilaksanakan oleh Bahagian Integriti JIM KLIA.
Beliau menegaskan, JIM tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang melakukan pelanggaran integriti dan mencemarkan nama baik serta imej jabatan.
“Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan JIM mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku integriti Pegawai Imigresen.
The post ‘Penemuan 12 keping pasport pada badan pegawai imigresen di Terminal 2 KLIA’ – Pengarah JIM appeared first on The Reporter.


