Penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di belakang sebuah rumah di Kampung Alor Lintang, Kampung Raja, Besut bukan sekadar kes buang bayi, sebaliknya bongkar hubungan terlarang membabitkan sumbang mahram antara dua beradik remaja.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, siasatan mendapati bayi itu adalah hasil hubungan terlarang seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang melahirkan anak tersebut secara rahsia sebelum bayi berkenaan ditinggalkan di lokasi kejadian.
Menurut polis, bayi tersebut ditemui oleh seorang penghuni rumah sebelum dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut, manakala remaja perempuan terbabit kini sedang menerima rawatan perubatan.
Baca juga:
Susulan pendedahan yang bongkar hubungan terlarang itu, polis menahan reman seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, yang juga adik kepada remaja perempuan terbabit, bagi membantu siasatan sehingga tujuh hari bermula Isnin. Polis turut memaklumkan remaja lelaki itu dipercayai merupakan OKU lembam.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
Pada masa sama, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan berkaitan perbuatan sumbang mahram, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam tahun, maksimum 20 tahun serta sebatan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi di media sosial yang boleh mengganggu siasatan.
Sumber: Sinar Harian
The post Penemuan bayi di Besut bongkar hubungan terlarang dua beradik appeared first on The Reporter.


