
Pemandu ditemui rentung dalam kereta terbakar
Penemuan Mayat Rentung Dalam Kereta Terbakar Jadi Tanda Tanya Warga Sri Aman. Identiti mayat yang ditemukan rentung di dalam sebuah kereta terbakar berhampiran Nanga San, Jalan Brayun pada Rabu dipercayai seorang lelaki warga emas berbangsa Cina.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan (DSP) Mathew Manggi berkata, pihaknya dimaklumkan tentang penemuan satu mayat sekitar 10.30 pagi semalam.

“Kita dihubungi oleh Pusat Kawalan Bomba Dan Penyelamat Sri Aman menyatakan terdapat satu mayat di dalam kenderaan yang terbakar di tepi jalan Nanga San, Jalan Brayun.
“Hasil siasatan awal polis, individu yang rentung dipercayai seorang lelaki Cina berumur 76 tahun,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Polis jelasnya turut mengesahkan kenderaan yang terbakar merupakan sebuah kereta jenis Daihatsu dengan nombor pendaftaran QKF4336.

Tambah Mathew, kes masih dalam siasatan polis dan sehingga kini ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian untuk tampil ke IPD Sri Aman atau menghubungi pegawai penyiasat kes Asisten Superintenden Leonard Mallaca di talian 019-7509390 untuk membantu siasatan.
