
TORONTO: Sebuah syarikat penerbangan Kanada membatalkan penerbangan dari Victoria ke Toronto selepas seorang kanak-kanak enggan memakai tali pinggang keselamatan.
Kanak-kanak berkenaan dilaporkan berdiri di atas kerusinya ketika penerbangan Porter Airlines pada 6 Ogos sedang bergerak menuju ke landasan pelepasan, menurut syarikat penerbangan tersebut.
Percubaan berulang kali oleh ibu bapa yang mengiringinya serta anak kapal untuk memastikannya duduk dan memakai tali pinggang keselamatan gagal, menyebabkan anak kapal membuat keputusan untuk kembali ke terminal dan meminta kedua-dua penumpang itu turun kerana pesawat tidak boleh berlepas dalam keadaan tidak selamat.
Jurucakap syarikat penerbangan itu, Brad Cicero, memaklumkan kesemua penumpang terpaksa diturunkan kerana masa yang diambil untuk menurunkan kanak-kanak itu bersama ibu bapanya serta mengemas kini dokumen penerbangan menyebabkan pesawat tidak sempat berlepas sebelum lapangan terbang ditutup pada jam 12.30 tengah malam.
“Kami memohon maaf atas kesan kejadian ini terhadap penumpang lain, yang akhirnya dapat berlepas menerusi penerbangan pada keesokan harinya,” katanya kepada agensi penyiaran berkenaan.
Seorang penumpang, Aryeh Kozuch, memberitahu Canadian Press kanak-kanak itu bukannya bertindak agresif dan komen dalam talian yang mengkritik ibu bapanya tidak mencerminkan situasi sebenar.
“Kanak-kanak itu cuma terus bersembunyi di bawah kerusinya. Jika mereka dipaksa duduk dan dipakaikan tali pinggang keselamatan, mereka akan meluncur keluar dari bahagian bawah.
“Ini merupakan seorang kanak-kanak yang berada di dalam pesawat bersama 150 orang. Dia jelas ketakutan dan cuba bersembunyi di bawah kerusi di hadapannya. Keadaan itu jauh berbeza daripada kanak-kanak yang berlari dan menjerit,” katanya.
Hillary Hertzberg, seorang lagi penumpang berpendapat syarikat penerbangan berkenaan sepatutnya bertindak lebih pantas.
“Ia mengambil masa yang terlalu lama. Kanak-kanak itu akhirnya turun dari pesawat pada jam 11.30 malam, jadi kami sudah berada di dalam pesawat selama hampir sejam pada ketika itu,” kata Hertzberg kepada CBC.
Porter Airlines berkata penumpang dijadualkan semula ke penerbangan berbeza pada keesokan harinya. -AGENSI
The post Penerbangan batal selepas kanak-kanak enggan pakai tali pinggang keledar appeared first on Utusan Malaysia.





