
Tenom: Misteri penerbangan dron yang mencetuskan pelbagai tanda tanya dan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar Mukim Entabuan dan Mukim Mandalom sejak beberapa minggu lalu, akhirnya terjawab.
Insight Resources Sdn Bhd, kontraktor yang dilantik oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SE), mengesahkan penerbangan dron tersebut dijalankan bagi tujuan kerja kejuruteraan, khususnya untuk mendapatkan koordinat GPS yang tepat, bagi menentukan lokasi pemasangan tiang-tiang baharu dalam projek penukaran talian elektrik jenis AAC kepada ABC (Aerial Bundled Cable) di kawasan berkenaan.
Wakil syarikat berkenaan, Mohd Afis berkata, penggunaan dron membolehkan pasukan teknikal mengenal pasti jajaran laluan elektrik dengan lebih efisien dan tepat tanpa perlu melakukan kerja lapangan yang meluas di kawasan berbukit atau sukar diakses.
“Penerbangan dron ini hanya dilakukan di kawasan yang terlibat dengan projek iaitu dari SK Mandalom hingga SK Entabuan sahaja, dan dijalankan secara terkawal oleh juruteknik bertauliah.
“Ia tidak melibatkan kawasan kediaman lain,” katanya dalam satu kenyataan melalui WhatsApp.
Penjelasan itu sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penduduk yang bimbang dengan kehadiran dron tidak dikenal pasti di ruang udara kampung mereka, sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan privasi komuniti setempat.
Pihak Insight Resources turut memohon maaf atas kekeliruan dan kegusaran yang timbul susulan operasi tersebut. Mereka juga menyatakan penghargaan kepada masyarakat atas keprihatinan dan kerjasama yang ditunjukkan.
“Pihak kami amat memahami keresahan penduduk dan akan memastikan semua aktiviti kerja dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta mematuhi peraturan keselamatan sedia ada. Kami juga berterima kasih atas sokongan serta maklum balas daripada komuniti setempat,” jelas kenyataan.
Projek penukaran talian elektrik tersebut dijangka akan meningkatkan kecekapan bekalan elektrik di kawasan Tenom, khususnya bagi penduduk di sekitar Mandalom dan Entabuan, selain mengurangkan risiko gangguan bekalan akibat faktor cuaca dan usia talian lama.
