Penerbangan sulung AirAsia dari KL ke Kertajati mula beroperasi

17 May 2023 • 3:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penerbangan sulung AirAsia dari KL ke Kertajati mula beroperasi

diyana

17/05/2023 - 15:53

KUALA LUMPUR 17 Mei ‒ Penerbangan sulung AirAsia Malaysia dari Kuala Lumpur ke Kertajati di Jawa Barat, Indonesia telah memulakan operasinya hari ini.

Pelancaran laluan baharu itu turut menandakan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah pertama yang terbang pergi dan balik ke laluan antarabangsa Kertajati selepas pandemik.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati merupakan lapangan terbang kedua terbesar di Indonesia dan berfungsi sebagai hab utama yang menghubungkan pengembara ke Bandung Raya, Cirebon dan kawasan sekitarnya, wilayah Jawa Barat dan sebahagian Jawa Tengah.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata misi syarikat itu adalah menjadikan Jawa Barat dan Indonesia secara keseluruhannya sebagai destinasi yang harus dilawati di ASEAN.

image is not available
Riad Asmat

“Dengan laluan baharu ini, lebih ramai penduduk tempatan dan pengembara akan berpeluang melihat keunikan Kertajati dan kawasan serta tarikan-tarikan yang berdekatan.

“Wilayah Majalengka, yang menempatkan Kertajati hanya sejam dari Bandung yang turut dikenali sebagai syurga membeli-belah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Riad berkata permulaan penerbangan dari Kuala Lumpur ini bukan sahaja akan memperkenalkan Kertajati kepada pelancong dari ASEAN dan seterusnya, malah akan mewujudkan pelbagai peluang ekonomi dan pekerjaan untuk penduduk tempatan.

“Sebagai kumpulan syarikat penerbangan yang mempunyai rangkaian luas di Asean dan Asia Pasifik, bersama syarikat Indonesia AirAsia, kami teruja untuk terus memainkan peranan dalam membawa pelancong asing terus ke pelbagai bandar-bandar popular dan kurang mendapat perkhidmatan di Indonesia dan Malaysia,” tambahnya.

image is not available

Sempena meraikan penerbangan sulungnya, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua dari Kuala Lumpur ke Kertajati serendah RM141 sehala.

Tambang bernilai hebat ini juga tersedia untuk penerbangan pergi balik daripada 616,600 rupiah sehala.

Promosi ini tersedia bermula hari ini hingga 21 Mei 2023, untuk tempoh perjalanan antara 1 Jun dan 14 Disember 2023. -DagangNews.com