
KUALA LUMPUR - Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) secara automatik layak memperoleh manfaat Skim Perubatan Madani bermula hari ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, program perintis skim terbabit bakal dimulakan di 10 daerah iaitu Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling di Selangor, Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak) hingga akhir tahun nanti.
Menurut beliau, skim tersebut ialah antara inisiatif rintis kerajaan bagi menampung keperluan kesihatan golongan B40, terutamanya dalam mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes-kes akut) di pengamal perubatan swasta umum (GP).
“Perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan yang akan diberikan di GP kepada penerima manfaat mengikut pakej ditentukan.
“Penerima manfaat boleh mendapat beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah telah habis,” katanya hari ini.
Dr Zaliha berkata, setiap isi rumah berkeluarga akan diberi peruntukan berjumlah RM250 manakala warga emas tanpa pasangan layak menerima RM125.
“Untuk kategori bujang pula, mereka akan menerima peruntukan berjumlah RM75.
“Rawatan pesakit luar kes-kes akut percuma yang ditawarkan di bawah skim ini Skim merangkumi rawatan bagi demam selesema, cirit birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan dan pelbagai lagi,” katanya.
Pakej tersebut bagaimanapun jelas beliau, tidak merangkumi rawatan bukan akut imunisasi rutin, saringan kesihatan, rawatan susulan rutin penyakit tidak berjangkit (NCD), rawatan susulan rutin ibu dan anak serta perancangan keluarga rutin
“Ia juga tidak terpakai untuk perkhidmatan rehabilitasi dan permohonan ubat-ubatan serta suplemen tanpa konsultasi doktor,” katanya.
Dr Zaliha memberitahu, semua perkhidmatan kesihatan bagi keadaan bukan akut yang tidak ditawarkan oleh Skim Perubatan Madahi itu boleh didapati di klinik kesihatan milik Kementerian Kesihatan (KKM).
“Fasa rintis Skim Perubatan Madani ini dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.
“Pra-pendaftaran adalah tidak diperlukan untuk menikmati manfaat Skim Perubatan Madani bagi penerima STR dan tanggungan mereka,” katanya.
Jelas beliau, penerima STR hanya perlu membawa kad pengenalan semasa mendapat rawatan di GP yang berdaftar di bawah skim terbabit.
“KKM melalui ProtectHealth menyasarkan sebanyak 700 GP untuk mendaftar sebagai panel Skim Perubatan Madani menjelang September tahun ini.
“Ketika ini, sebanyak empat sesi penerangan dan latihan kepada GP telah dijalankan dan KKM dijangka melaksanakan 10 sesi lagi bagi mencapai sasaran GP yang berdaftar untuk skim berkenaan,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai skim tersebut termasuk semakan kelayakan dan senarai klinik panel boleh didapati di laman sesawang ProtectHealth, iaitu di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau menghubungi talian 03-8687 2525. - Getaran, 15 Jun 2023
