CADANGAN kerajaan untuk melaksanakan kaedah kerja lebih anjal termasuk bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam hadir pada masa yang signifikan ketika tekanan kos sara hidup semakin dirasai akibat ketidaktentuan global.
Dalam konteks semasa, gangguan rantaian bekalan global, kenaikan harga bahan api serta ketegangan geopolitik memberi kesan langsung kepada kos harian rakyat.
Justeru, pengurangan keperluan ke tempat kerja secara fizikal berpotensi membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah khususnya kos pengangkutan dan makan minum.
Secara tidak langsung, ia boleh menjadi mekanisme jangka pendek untuk meredakan tekanan inflasi yang dirasai di peringkat pengguna.
Dalam hal ini, pelaksanaan BDR wajar disokong dan diperluaskan termasuk oleh sektor swasta kerana ia memberi penjimatan langsung kepada pekerja dari segi kos harian sekali gus meningkatkan pendapatan boleh guna tanpa perlu kenaikan gaji.
Kedua, fleksibiliti lokasi kerja boleh meningkatkan produktiviti kerana pekerja berupaya mengurus masa dengan lebih efisien tanpa terikat kepada perjalanan harian yang memenatkan.
Seterusnya, ia membantu meningkatkan keseimbangan kehidupan dan kerja yang secara tidak langsung menyumbang kepada kesejahteraan mental mahupun prestasi kerja jangka panjang.
Namun, cabaran utama dalam pelaksanaan BDR ialah sikap majikan yang masih cenderung melihat kehadiran fizikal sebagai ukuran utama produktiviti.
Realitinya, pengalaman ketika pandemik Covid-19 telah membuktikan bahawa banyak tugasan boleh dilaksanakan secara jarak jauh tanpa menjejaskan kualiti mahupun hasil kerja.
Malah, dalam sesetengah keadaan, produktiviti meningkat apabila pekerja diberikan kepercayaan dan autonomi untuk mengurus masa serta persekitaran kerja mereka sendiri.
Perkara ini jelas menunjukkan bahawa keberkesanan kerja tidak bergantung kepada lokasi sebaliknya dipacu oleh sistem kerja yang tersusun, pengurusan prestasi yang jelas serta budaya kepercayaan antara majikan dan pekerja.
Bagaimanapun, tidak dinafikan pelaksanaan BDR turut berdepan beberapa cabaran yang perlu ditangani secara realistik.
Antaranya ialah kesukaran memastikan komunikasi dan koordinasi berjalan lancar terutama melibatkan tugasan berkumpulan yang memerlukan interaksi pantas.
Selain itu, terdapat juga isu disiplin dan pengurusan masa bagi segelintir pekerja jika tiada pemantauan atau garis panduan yang jelas.
Dalam masa sama, tidak semua jenis pekerjaan sesuai dilaksanakan secara jarak jauh khususnya yang melibatkan penggunaan sistem dalaman atau keperluan teknikal di pejabat.
Namun, cabaran-cabaran ini tidak seharusnya menjadi alasan untuk menolak BDR sepenuhnya, sebaliknya perlu dilihat sebagai ruang penambahbaikan dalam merangka pelaksanaan yang lebih tersusun dan bersasar.
Majikan perlu beralih daripada menilai ‘berapa lama pekerja berada di pejabat’ kepada ‘apa hasil yang berjaya dicapai’.
Secara keseluruhannya, BDR bukan lagi satu konsep sementara yang hanya relevan ketika krisis tetapi berpotensi menjadi norma baharu dalam dunia pekerjaan.
Dengan pendekatan yang tersusun serta perubahan minda dalam kalangan majikan, ia boleh menjadi antara strategi penting dalam membantu rakyat mengurus tekanan kos sara hidup di samping mengekalkan produktiviti ekonomi negara.
*Nurul Nabila Ahmad Halimy ialah wartawan Sinar Harian


