
KUANTAN: Seorang peneroka Felda mengalami kerugian berjumlah RM140,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam selepas menerima panggilan telefon pada 1 Dis lepas.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata lelaki berusia 63 tahun itu mendakwa ketika berada di Felda Chini Timur 2, dia telah dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘pegawai polis’ dari Ampang, Selangor dan memaklumkannya terlibat dengan pengubahan wang haram serta rasuah.
Beliau berkata mangsa kemudiannya telah memberi butiran akaun bank kepada suspek sebelum diminta membuat pemindahan semua wang daripada akaun Maybank ke Bank Islam.
“Sejurus itu, mangsa telah membuat pemindahan wang secara berperingkat berjumlah RM140,000 dari 1 Dis hingga Selasa lepas (6 Dis).
“Namun, pada Rabu (7 Dis) ketika mangsa membuat semakan baki wang akaun Bank Islam, dia mendapati wang telah berkurangan dan telah dipindahkan secara berperingkat ke beberapa akaun tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata mangsa yang telah berasa ditipu telah membuat laporan polis pada Rabu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -Bernama
