
Oleh FATIN NURAIN MUSTAFFA KAMAL
PETALING JAYA: Pelakon, Namron mendedahkan terdapat seorang pelakon muda didakwa meminta bayaran RM100,000 untuk menjadi teraju utama sebuah naskhah layar perak.
Menurut Namron atau Shahili Abdan, perkara itu dikongsikan oleh rakannya yang juga merupakan seorang penerbit kerana terkejut apabila pelakon yang dikatakan kurang pengalaman itu berani berbuat demikian.
“Baru-baru ini saya borak dengan kawan penerbit saya. Dia baru pertama kali menjadi penerbit tapi sudah lama berlakon. Dia mahu panggil seorang pelakon muda untuk jadi hero dalam filem dia.
Pelakon itu minta bayaran RM100,000, kawan saya terkejut. Pelakon itu cakap dia ada pengalaman empat tahun berlakon drama televisyen (TV). Kawan saya dengan nada kecewa berkata dia berlakon berpuluh tahun tidak pernah dibayar seperti itu.
“Saya cuba bersangka baik dan fikir mungkin pengikut di media sosialnya berjuta tetapi rakan saya menidakkannya. Akhirnya dia reject pelakon tu dan ambil pelakon lain,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Namron bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci identiti penerbit serta pelakon muda yang dimaksudkan.
Dalam masa sama, Namron turut mempersoalkan faktor yang mendorong pelakon berkenaan meletakkan bayaran tinggi sedangkan, individu terbabit masih belum mempunyai rekod kukuh dalam industri perfileman.
“Persoalan saya, pengalaman masih cetek, tidak popular sangat pun, pengikut pun tidak ada juta-juta, baru mahu berlakon filem tapi berani minta RM100,000 kenapa?
“Saya rasa ada kawan-kawan dia sudah permainkan dia. Senyap- senyap kawan dia jatuhkan dia dengan menyuruh dia minta RM100,000 kerana ini filem dan bukan drama TV,” kongsinya.
Bagaimanapun pelakon filem Polong itu menyifatkan seseorang pelakon layak mendapat bayaran sedemikian seandainya nilai pasaran serta pencapaiannya membintangi naskhah layar perak berbaloi bagi pihak penerbit.
“Ada juga yang salah faham tentang pelakon minta RM100,000 itu. Bukan tiada, pelakon dibayar RM100,000 untuk berlakon filem. Cuma penerbit akan tengok dulu, nilai pasaran dia bagaimana.
“Contoh kalau pelakon itu sudah membuktikan filem-filem lakonan dia memang ‘box office’ (pecah panggung). Kutipan puluhan juta. Sudah itu pernah menang anugerah pula, pengikut pun ramai.
Produser berani saja bayar dia. Lebih RM100,000 pun ada. Tapi kalau belum membuktikan apa-apa susahlah sikit penerbit mahu bayar RM100,000,” ujarnya.
The post Pengalaman masih cetek, baru mahu berlakon filem tapi minta bayaran RM100,000 – Namron appeared first on Utusan Malaysia.



