Pengalaman tangani Krisis Kewangan Asia antara kandungan menarik buku ulang tahun ke-30 SC

Business & Finance
7 Mar 2024 • 5:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengalaman tangani Krisis Kewangan Asia antara kandungan menarik buku ulang tahun ke-30 SC

herman

07/03/2024 - 17:13

KUALA LUMPUR 7 Mac - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini melancarkan buku terbitan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berjudul Capital Market in Malaysia – Past, Present & Future yang memaparkan wawasan yang mendalam mengenai pasaran dan pengawal selianya sejak 1993.

Buku itu juga memberi gambaran mengenai trend global semakin berkembang yang akan membantu membentuk pasaran Malaysia, yang kini merupakan salah satu pasaran terbesar di ASEAN, dalam masa terdekat.

Penerbitan buku setebal 420 halaman itu sempena ulang tahun SC ke-30 yang disambut tahun lalu.

Ditulis oleh wartawan veteran Jennifer Jacobs, kandungannya adalah berdasarkan wawancara dan perbualan terkini bersama semua mantan Pengerusi SC termasuk Pengerusi semasa, pengurusan kanan SC pada masa lalu dan semasa, pakar industri, cendekiawan, pengawal selia yang lain serta pihak berkepentingan utama.

Beberapa cerapan mereka dikongsi secara terbuka buat pertama kalinya.

Ini termasuk pengalaman menangani Krisis Kewangan Asia 1997/98 dan isu-isu mendesak lain sambil memastikan pasaran terus beroperasi dan pelabur kekal dilindungi.

Sempena majlis pelancaran buku itu, Sultan Nazrin bertitah, buku ini benar-benar memberi penghargaan yang sewajarnya terhadap kewibawaan sesebuah pasukan.

"Dengan cara pemikiran, pendapat dan bakat individu bersatu sepanjang beberapa dekad, untuk membina SC sehingga menjadi sebuah badan kawal selia yang terkenal di peringkat antarabangsa," titah Sultan Perak.

Dalam prakata buku tersebut, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menubuhkan SC pada tahun 1993, berkata buku itu bukan sekadar merekodkan sejarah 30 tahun SC.

“Buku ini memberi perspektif terhadap mereka yang bertanggungjawab di samping mendalami apa yang mereka lakukan dan mengapa mereka membuat sesuatu keputusan.

"Harapan saya agar anda mendapati intipati buku ini berpandangan jauh dan bermanfaat,” katanya yang mengamanahkan SC untuk menerajui pembaharuan dan kemajuan selanjutnya bagi memastikan pasaran modal yang dinamik, menarik dan mesra pelabur.

Buku tersebut hasil buah fikiran Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dalam memberi penghargaan dan menekankan peranan dan sumbangan semua mantan Pengerusi SC dalam membentuk legasi SC.

Beliau berkata, sejarah itu sendiri menarik, tetapi alangkah lebih menarik apabila ia datang daripada mereka yang membantu membentuknya – bermula daripada perintis awal SC kepada pengurusan utama dan pemain industri.

"Pendek kata, ia mesti dibaca oleh setiap individu yang berminat dengan sejarah kewangan dan korporat Malaysia.”

Kira-kira 300 orang, termasuk semua bekas Pengerusi SC, pemimpin dan pengamal industri pasaran modal, telah menghadiri majlis pelancaran yang diadakan di SC.

Buku Capital Market in Malaysia – Past, Present & Future’ kini boleh didapati sebagai e-buku di laman web SC (www.sc.com.my) dan di perpustakaan terpilih di seluruh negara.- DagangNews.com

View Original Article