Pengamal media disaran jalani saringan kesihatan, kesan awal penyakit

LocalHealth & Fitness
31 Oct 2026 • 3:29 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pengamal media disaran jalani saringan kesihatan, kesan awal penyakit

PETALING JAYA, 31 OKT: Pengamal media digalakkan menjalani saringan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memantau tahap kesihatan serta mengesan awal penyakit tidak berjangkit (NCD).

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perbincangan akan diadakan bersama Majlis Media Malaysia (MMM) dan syarikat media bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk melaksanakan saringan berkenaan.

Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan lebih ramai pengamal media mendapat akses kepada pemeriksaan kesihatan, sekali gus membolehkan penyakit dikesan lebih awal dan rawatan diberikan sebelum keadaan menjadi serius.

Image from: Pengamal media disaran jalani saringan kesihatan, kesan awal penyakit
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil memberi ucapan peembukaan Program Saringan Kesihatan Wartawan di The Spine, Petaling Jaya pada 31 Oktober 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

“Kita lihat isu melibatkan kesihatan para wartawan (pengamal media) adalah penting untuk kenal pasti penyakit termasuk NCD sekali gus memudahkan urusan rawatan dan bantuan awal bagi elakkan keadaan lebih serius.

“Setakat ini kita ada lebih 12,000 pengamal media berdaftar dengan Jabatan Penerangan. Kalau boleh kita mahu seramai mungkin dapat jalani saringan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Dana Saringan Kesihatan Wartawan Yayasan CVSKL di sini hari ini.

Image from: Pengamal media disaran jalani saringan kesihatan, kesan awal penyakit
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil bergambar selepas sidang Program Saringan Kesihatan Wartawan di The Spine, Petaling Jaya pada 31 Oktober 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

Sebagai langkah awal, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan Yayasan CVSKL dan MMM untuk menganjurkan program saringan kesihatan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada Jun 2027.

“Kita akan gerakkan lebih banyak sumber untuk membantu wartawan, pengamal media lakukan saringan ini. MMM boleh teliti cara terbaik pelaksanaannya,” katanya.

Sementara itu, MMM menerusi kenyataan memaklumkan Yayasan CVSKL menyumbang RM1 juta bagi melaksanakan program berkenaan, sekali gus memperluas akses penjagaan kesihatan kepada pengamal media.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan berkenaan akan mengutamakan wartawan aktif dan bekas wartawan berusia lebih 50 tahun yang tidak mempunyai perlindungan insurans perubatan.

“Dengan sokongan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ), inisiatif ini menyediakan akses saringan kesihatan kepada pengamal media yang layak, dengan penekanan khusus terhadap kesihatan kardiovaskular serta pengesanan awal risiko penyakit,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved