Pengambilalihan MAHB perlu dipersetujui 90% pemegang saham, dijangka dimuktamadkan 3Q 2024 - MOF

Business & Finance
16 Jul 2024 • 11:59 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengambilalihan MAHB perlu dipersetujui 90% pemegang saham, dijangka dimuktamadkan 3Q 2024 - MOF

herman

16/07/2024 - 11:59

KUALA LUMPUR 16 Julai - Tawaran pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 90% pemegang saham sedia ada MAHB dan dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini (3Q24).

Kementerian Kewangan berkata, memandangkan tawaran itu merupakan satu urusan transaksi komersial, maka ia tidak mendatangkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.

"Kerajaan akan terus memantau perkembangan ini dan memastikan apa jua keputusan yang dicapai nanti perlulah dibuat berpandukan kepada undang-undang dan peraturan semasa berkuat kuasa," katanya menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

Jawapan yang dimuat naik di laman web Parlimen itu berkaitan soalan Wan Ahmad Fayhsal yang meminta kementerian itu menyatakan perincian berhubung penjualan saham MAHB kepada syarikat asing termasuk implikasi kewangan serta tawaran sukarela prasyarat oleh Gateway Development Alliance (GDA) dan pemegang saham yang terlibat.

Kementerian Kewangan berkata, seandainya tawaran tersebut diterima dan dipersetujui oleh para pemegang saham MAHB yang lain, pemilikan MAHB oleh konsortium berkenaan adalah berdasarkan Khazanah 40%; KWSP 30%; dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP), 30%.

"Ini bermakna pegangan Khazanah dan KWSP akan meningkat daripada 41% kepada 70%. Konsortium ini akan diterajui oleh para pelabur Malaysia.

"Konsortium berkenaan telah menawarkan RM11 sesaham yang melebihi harga saham tertinggi sepanjang masa MAHB iaitu RM10.58 sesaham. Ini bersamaan dengan nilai tawaran sebanyak RM18.4 bilion secara keseluruhannya," jelasnya.

Menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dalam isu sama, Kementerian Kewangan berkata, pegangan saham oleh pelabur asing dalam MAHB bukanlah perkara yang baharu, di mana pada ketika ini ia berada di paras 27%.

Katanya, bahkan pada satu ketika, pemilikan saham oleh pelabur asing dalam MAHB pernah meningkat kepada 45% pada tahun 2018.

"Di samping itu, kesemua lapangan terbang di bawah MAHB akan kekal sebagai aset strategik negara yang dimiliki oleh Kerajaan, seperti mana yang digariskan di bawah Perjanjian Operasi yang telah ditandatangani.

"Malah, seandainya tawaran pengambilalihan ini dipersetujui, kepentingan negara akan terus dilindungi menerusi pemilikan majoriti 70% pegangan oleh pelabur Malaysia di bawah Konsortium ini dan pegangan saham khas oleh Kerajaan yang akan terus dikekalkan," ujar Kementerian Kewangan. - DagangNews.com