Pengampunan Najib: 'Sabar, tunggu kenyataan rasmi’ - Dr Zaliha

Politics
1 Feb 2024 • 10:58 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Datuk Seri Najib Tun Razak

image is not available
Dr Zaliha Mustafa

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan satu kenyataan rasmi berhubung pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Ujar Dr Zaliha, pihak media diminta untuk bersabar dan menunggu kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan tarikh kenyataan rasmi itu akan dikeluarkan ketika ditanya oleh media.

“Kenyataan rasmi akan datang kemudian. Diminta sabar dan kita tunggu sahaja, insya-ALLAH,” katanya kepada petugas media selepas melancarkan Hari Wilayah Persekutuan 2024 (HWP 2024) di Dataran Putrajaya pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu bahawa Kabinet ada dimaklumkan sepintas lalu mengenai pengampunan Najib.

Menurutnya, perkara tersebut dimaklumkan ketika Mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC), serta tiga pertuduhan setiap satu pelanggaran jenayah kepercayaan dan salah guna kuasa berkenaan dengan RM42 juta dana SRC.