Penganalisis kekal 'neutral' susulan kejayaan WCT raih tender kedua projek mewah di Abu Dhabi

Business & Finance
7 Jul 2026 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penganalisis kekal 'neutral' susulan kejayaan WCT raih tender kedua projek mewah di Abu Dhabi Image from: Penganalisis kekal 'neutral' susulan kejayaan WCT raih tender kedua projek mewah di Abu Dhabi amree07/07/2026 - 09:15 PANORAMA pusat bandar raya Abu Dhabi di UAE. - Foto AFP Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Julai –  Dua firma penyelidikan masih mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham WCT Holdings Berhad selepas ia berjaya memperoleh tender kedua di Abu Dhabi bernilai RM926.2 juta.

 

Menurut penganalisis, subkontrak projek kediaman mewah itu melibatkan usaha sama (JV) 50:50 antara subsidiarinya, WCT International Sdn Bhd dan Construction General Contracting House Ltd (CGCH). 

 

MBSB Research turut mengekalkan harga sasaran (TP) 43 sen sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 11 kali bagi unjuran pendapatan sesaham (EPS) pada FY27 sebanyak 3.9 sen.

 

"Kami berpandangan kemenangan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ini mempelbagaikan buku tempahan WCT ketika kadar penganugerahan projek infrastruktur domestik masih perlahan," jelas firma tersebut.

 

Bagaimanapun tambahnya, pengembangan operasi di negara itu turut meningkatkan pendedahan syarikat kepada risiko pelaksanaan projek dan sumbangan keuntungan dijangka berperingkat bermula FY27.

 

Ujar MBSB Research, jumlah buku tempahan terkumpul syarikat itu kini dianggarkan naik kepada RM2.64 bilion atau 2.6 kali hasil pembinaan FY25, yang memberikan keterlihatan pendapatan sehingga FY30.

 

Artikel berkaitan: WCT raih subkontrak RM926.2 juta projek pembangunan 6 blok kediaman mewah di Abu Dhabi

 

Pulau Yas di Abu Dhabi

 

"Walaupun prospek jangka panjang WCT kukuh, kami menurunkan unjuran untung FY26 dan FY27 masing-masing 5% dan 9% kerana kontrak baharu cuma diiktiraf di fasa akhir pelaksanaan projek," katanya.

 

Ia menjangkakan prestasi terus disokong oleh kemajuan kerja Lebuh Raya PLUS, dan Pavilion Damansara Heights, selain pelancaran hartanah baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.54 bilion.

 

Sementara itu, Public Investment Bank pula menetapkan TP lebih tinggi iaitu 50 sen sesaham dengan berdasarkan purata nisbah harga kepada nilai buku (PBV) selama lima tahun sebanyak 0.23 kali.

 

"Nilai bahagian kontrak projek di UAE yang bakal direkodkan WCT dianggarkan RM463.1 juta, sekali gus meningkatkan buku tempahan pembinaannya sekitar 21% kepada kira-kira RM2.7 bilion," katanya.

 

Firma itu menganggarkan tender tersebut mampu menyumbang 14.3% kepada keuntungan bersih tahunan sepanjang tempoh kontrak kira-kira 40 bulan, dan andaian margin keuntungan pada kadar satu digit.

 

PublicInvest namun tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kumpulan itu kerana kontrak tersebut sudah pun diambil kira dalam andaian pengisian semula buku tempahan bagi FY26. 

 

Kemenangan kontrak kedua di Abu Dhabi itu mengukuhkan kehadiran WCT di pasaran antarabangsa dan asas pertumbuhan segmen pembinaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved