Penganalisis kekal positif terhadap Matrix Concepts walau untung turun

LocalBusiness & Finance
30 May 2025 • 12:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penganalisis kekal positif terhadap Matrix Concepts walau untung turun

image is not available

30/05/2025 - 12:49

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 30 Mei - Walaupun keuntungan Matrix Concepts Holdings Bhd bagi 4QFY25 menurun 30% kepada RM42.7 juta berbanding RM60.6 juta pada suku sama tahun lalu, penganalisis masih yakin dengan prospek syarikat pemaju hartanah itu.

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, penurunan keuntungan itu disumbangkan jualan yang lambat ditukar kepada hasil, kos awal projek di Malaysia Vision Valley (MVV) di Negeri Sembilan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi daripada jangkaan.

"Walaupun syarikat mencatat hasil lebih tinggi berikutan jualan lama yang diiktiraf, keuntungannya tetap tidak banyak berubah," katanya dalam satu nota kajian.

Matrix Concepts mencatatkan jualan RM360.6 juta bagi suku keempat, menjadikan jumlah jualan bagi tahun kewangan 2025 sebanyak RM1.38 bilion, melepasi sasaran tahunan RM1.35 bilion.

Syarikat turut melancarkan projek bernilai RM291.3 juta pada suku itu, menjadikan jumlah pelancaran bagi tahun tersebut sebanyak RM1.45 bilion.

Jualan belum ditagih pula adalah sebanyak RM1.46 bilion, bersamaan 1.3 kali hasil pembangunan hartanah bagi FY25.

HLIB kekal dengan saranan 'beli' terhadap saham Matrix Concepts dengan harga sasaran RM1.73, sambil menyatakan prospek syarikat masih positif dengan projek baharu di Negeri Sembilan, perluasan ke Lembah Klang dan sumbangan daripada perniagaan kesihatan.

RHB Research turut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM1.72.

Firma penyelidikan tersebut menjangkakan, pendapatan dan kos akan kembali stabil pada FY26 dan menjangkakan projek MVV akan mula menyumbang kepada keuntungan syarikat pada separuh kedua tahun ini melalui jualan tanah industri.

Setakat ini, Matrix Concepts telah menjual tanah industri bernilai RM350 juta dan kerja-kerja pembinaan baru sahaja dimulakan bulan ini.

Namun, RHB menurunkan unjuran pendapatan untuk FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 8% dan 9%.

Nisbah hutang bersih dijangka meningkat kepada antara 0.2 dan 0.25 kali selepas pengambilan tanah MVV fasa kedua dijangka selesai pada separuh kedua 2026.

Sementara itu, MIDF Research berkata, keuntungan Matrix Concepts masih dalam jangkaan dan mengekalkan cadangan 'beli' dengan harga sasaran RM1.59.

Ia meramalkan pendapatan pada FY26 akan meningkat kerana hasil tertangguh mula direkodkan, selain pulangan dividen yang menarik iaitu 5.8%.

Firma itu juga memperkenalkan unjuran pendapatan hingga 2028 dan kekal positif terhadap syarikat tersebut.

MIDF Research percaya, pembangunan tanah di MVV boleh mendorong pertumbuhan pendapatan dalam jangka sederhana, disokong oleh permintaan tinggi terhadap rumah bertanah di Negeri Sembilan. - DagangNews.com

standard