Penganggur didakwa bunuh warga emas di Kampung Koh, Manjung

LocalPolitics
9 Dec 2025 • 3:01 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Seorang penganggur didakwa bunuh warga emas 78 tahun di Kampung Koh dan dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan dadah di mahkamah yang sama

MANJUNG: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di Kampung Koh bulan lepas.

Lin Chee Ming, 49, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan jaminan tidak ditawarkan.

Lelaki itu didakwa membunuh Ling Chin Kian, 78, di Kampung Baru, Kampung Koh, Sitiawan antara 3.40 pagi hingga 4.44 pagi pada 26 November lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Di mahkamah sama, Lin dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan selepas mengaku mengambil dadah jenis amfetamina dan metamfetamina.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Pejabat BSJN IPD Manjung pada 4 Februari lepas.

Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azizah Ahmad, Lin dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan selepas mengaku memberikan morfin kepada diri sendiri.

Tertuduh, yang memiliki tiga kesalahan lampau, turut dikenakan pengawasan selama dua tahun di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat BSJN IPD Manjung pada 20 Januari lepas. – Bernama