Penganggur didenda RM10,000 pamer lima filem cetak rompak

7 Sep 2022 • 1:38 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Seorang penganggur didenda RM10,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mempamerkan lima salinan langganan karya filem cetak rompak melalui aplikasi Telegram, pada Mac tahun lepas.

Hakim Diana Md Razali menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Fairuzaman Ahmad Bolia, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Taman Desa Melor di sini, pada kira-kira pukul 10 malam, 18 Mac 2021.

Lelaki itu didakwa mempamerkan kepada awam lima salinan langganan karya filem kesemua hak cipta Astro bagi tujuan dagangan melalui Telegram Ahmad Faibers, mengikut Seksyen 41 (1) (e) Akta Hak Cipta 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 41(1)(i) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM20,000 bagi setiap salinan atau kedua-duanya.

Lelaki itu kemudian membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azmil Aspara manakala Ahmad Fairuzaman tidak diwakili peguam.-Bernama