Tular satu video berdurasi 1 minit 31 saat yang memaparkan beberapa individu mengibarkan bendera China di kawasan berhampiran Dataran Menara Condong Teluk Intan. Insiden itu dipercayai berlaku semasa Pesta Tanglung Teluk Intan.
Rakaman video tersebut menunjukkan beberapa kumpulan yang mengibarkan bendera China, tindakan yang tidak berkaitan langsung dengan acara sambutan tersebut. Hal ini melanggar Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 yang melarang pemaparan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam atau sekolah.
Penganjur mohon maaf
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua, tampil memohon maaf atas insiden tersebut. Menurut beliau, tindakan itu dilakukan oleh rombongan dari China dan tidak membabitkan rakyat Malaysia.
“Sambutan Guan Gong Sedunia adalah program tahunan yang dianjurkan di beberapa negeri, dan di Teluk Intan, bendera Malaysia biasanya dikibarkan sebagai simbol patriotisme.
“Pihak kami sekali lagi memohon maaf dan akan memperbaiki segala aspek yang diperlukan,” katanya melalui satu kenyataan di Facebook.
Polis siasat
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, mengesahkan bahawa pihaknya telah memanggil penganjur untuk memberikan keterangan berhubung kejadian itu. Penganjur juga diarah mengemukakan peserta dari China bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibarkan bendera negara asing di tempat awam.
Difahamkan, perarakan yang berlangsung dari jam 8 malam hingga 11.30 malam itu juga melanggar syarat permit mengikut Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan 2012.
“Polis menerima aduan daripada seorang lelaki pada 12.39 tengah malam tadi. Penganjur dinasihati supaya menghantar notis kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan,” jelasnya.
Sumber: Harian Metro
The post Penganjur mohon maaf atas tindakan pelancong kibar bendera China, polis tetap jalankan siasatan appeared first on The Reporter.

