Penganjuran IMMERSE KL x CelcomDigi lonjakkan masa depan teknologi imersif Malaysia

LocalTechnology
18 Jul 2025 • 5:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penganjuran IMMERSE KL x CelcomDigi lonjakkan masa depan teknologi imersif Malaysia

image is not available

18/07/2025 - 17:34

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan kerjasama CelcomDigi, hari ini mengumumkan penganjuran IMMERSE KL x CelcomDigi, acara unggul negara bagi teknologi imersif dan inovasi kandungan kreatif.

Bertemakan ‘Terokai Masa Depan: Membentuk Teknologi Kreatif dan Metaverse’, acara itu mencerminkan komitmen Malaysia terhadap penyelesaian imersif merentas teknologi realiti lanjutan (XR), produksi maya, gamifikasi, penceritaan imersif dan Web3, sebagai pemangkin kepada teknologi baharu merentas pelbagai sektor.

IMMERSE KL x CelcomDigi yang dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 Julai depan di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar South, akan menampilkan ucaptama daripada tokoh antarabangsa termasuk Presiden Academy of Immersive Arts and Sciences, Ben Erwin serta penceramah dari Amerika Syarikat, Sweden, India, Australia dan Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, IMMERSE KL x CelcomDigi akan merangsang perkembangan inovasi digital, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam landskap teknologi imersif.

“Dengan sokongan rakan seperti CelcomDigi, kita sedang membentuk masa depan yang dipacu oleh kreativiti dan teknologi Baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penganjuran edisi kali ini bakal menghimpunkan lebih 300 peserta serta 120 syarikat dari Malaysia dan rantau ini.

Sebagai rakan rasmi acara, CelcomDigi akan mempersembahkan aplikasi sebenar teknologi XR dan 5G merentasi pelbagai sektor termasuk pendidikan, perindustrian dan penjagaan kesihatan.

Antara tumpuan utama yang akan dipamerkan ialah CelcomDigi Metaversity™ iaitu persekitaran pembelajaran imersif berkuasa XR, metaverse perindustrian dan visualisasi DICOM 3D berasaskan XR untuk kegunaan perubatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi, T. Kugan pula berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dalam penganjuram IMMERSE KL x CelcomDigi sebagai platform yang mencetuskan inovasi, kerjasama dan potensi baharu dalam membentuk masa depan digital Malaysia.

“Ini selaras dengan komitmen kami untuk menerajui pembangunan penyelesaian XR yang berimpak tinggi merentas industri,” katanya.


Lebih 40 syarikat pemula dari rantau ini turut dijadualkan membuat demonstrasi langsung, selain sesi jaringan terpilih yang menghubungkan pihak kerajaan, industri dan penggiat kandungan kreatif.

Salah satu kemuncak acara ialah program padanan perniagaan yang menghubungkan penyedia teknologi kreatif dan penyelesaian XR tempatan dengan syarikat korporat, PKS, agensi dan peneraju jenama.

Peserta berpeluang membentangkan idea mereka terus kepada pembuat keputusan bagi meraih potensi kerjasama bernilai tinggi dalam bidang pemasaran, operasi dan pengalaman pelanggan.

Selain CelcomDigi selaku rakan kongsi rasmi, acara ini turut disokong oleh pelbagai penaja industri termasuk Freedome (MAPIM), Revenant Reverie, Warnakala Studios dan XR Associates yang disenaraikan dala kategori penaja berlian.

Penaja emas pula termasuk UnBound Malaysia, CCACC (CloudTech Group), FaBu Design dan Experiential Design Team manakala penaja perak terdiri daripada Virtual X dan Pixljaya Digital Media & Entertainment.

Kerjasama lain ialah daripada: Monolith Technologies, Victory Forest Commercial serta SME Corp sebagai tuan rumah Program Matchworks dalam senarai penaja gangsa.

IMMERSE KL x CelcomDigi dibuka secara percuma kepada umum. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://mdec.my/immerse-kl. ;- DagangNews.com

standard