
Kota Kinabalu: Seorang pengarah operasi sebuah syarikat latihan berusia 55 tahun didenda RM60,000 atau dipenjara 12 bulan kerana menggunakan dokumen palsu untuk menuntut RM469,050 bagi pelaksanaan program latihan kemahiran.
Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga menjatuhkan hukuman itu terhadap Ag Ruzi Ag Tahir selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang ditawarkan kepadanya pada Selasa.
Ag Ruzi didapati secara tidak jujur menggunakan dokumen palsu sebagai invois tulen bertarikh 25 Januari 2018 yang mengandungi butiran tuntutan bagi pelaksanaan program pemerkasaan kapasiti dan keupayaan khusus untuk latihan kemahiran di bawah program Welding 6G Tahap 3 Bosiet.
Berdasarkan pertuduhan, Ag Ruzi menggunakan dokumen palsu itu pada 23 Februari 2018 di pejabat Unit Perancang Ekonomi Negeri (Sepu) di luar Jalan Pintas Penampang, dekat sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 471/465 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pertuduhan utama di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digugurkan selepas Ag Ruzi mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan. Ag Ruzi membayar denda tersebut.
Mahkamah diberitahu bahawa Ag Ruzi, yang merupakan pengarah operasi MySkills Vocational Training (MVT), mengemukakan tuntutan kewangan kepada Sepu untuk pelaksanaan program itu tetapi menggunakan invois palsu sebagai dokumen tulen.
Hasil siasatan lanjut mendapati hanya kursus latihan Scaffolding Tahap 1 telah dijalankan, manakala pelaksanaan program pemerkasaan kapasiti dan keupayaan khusus untuk latihan kemahiran di bawah program Welding 6G Tahap 3 Bosiet tidak dilaksanakan.
Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dari SPRM mengendalikan pendakwaan, manakala peguam Arthur Borine mewakili Ag Ruzi.

