Pengarah ‘Gantung’ Kecewa Tayangan Dihentikan Selepas Seminggu, Bangkitkan Isu Wajib Tayang

LocalMovie
12 Jun 2025 • 7:03 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kebiasaannya, filem blokbuster akan ditayangkan di pawagam dalam negara selama berminggu-minggu malah berbulan lamanya agar para peminat berpeluang untuk menyaksikan sendiri filem tersebut di layar skrin.

Pun begitu, filem Hollywood yang ditayangkan di Malaysia sering kali menyebabkan filem tempatan seolah-olah diketepikan.

Dalam mengatasi masalah ini, satu rangka kerja telah dihasilkan bagi mendorong tayangan filem-filem buatan Malaysia di panggung wayang dan memastikan mereka mendapat tontonan sebanyak mungkin dalam tempoh masa ditetapkan.

Pengarah Filem Minta GSC Sambung Tayangan ‘Gantung: Musketeer Code’

Baru-baru ini, seorang pengarah filem tempatan menerusi hantaran di X merayu kepada sebuah syarikat pawagam dalam negara yang bakal menghentikan tayangan karyanya dalam masa hanya seminggu sejak mula ditayangkan.

Nadia Mohammad Hatta atau lebih dikenali sebagai Nadia Khan, membuat hantaran balas kepada syarikat Golden Screen Cinemas (GSC) yang mengumumkan bahawa filem arahannya, ‘Gantung: Musketeer Code’, sudah berada di hari terakhir tayangannya semalam (11 Jun).

“Tolonglah dengar rayuan penonton ni untuk Gantung: Muskeeter Code. Ramai yang tak sempat tengok minggu lepas sebab sibuk beraya.

“Paling tak pun, lanjutkan (tayangan) sampai hujung minggu ni. Jangan terus tarik tayangan lepas hanya seminggu,” katanya.

Dalam masa sama, Nadia turut menegaskan bahawa filemnya itu sepatutnya ditayangkan selama sekurang-kurangnya dua minggu memandangkan ia mendapat perlindungan di bawah Skim Wajib Tayang.

Skim Wajib Tayang Wajibkan Pawagam Tayang Filem Tempatan Terpilih Selama 14 Hari

Sebagai info, Skim Wajib Tayang merupakan sebuah rangka kerja pengawalseliaan di bawah bidang kuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Rangka kerja yang diperkenalkan menerusi peraturan FINAS pada Jun 2005 itu mewajibkan pawagam menayangkan filem tempatan atau filem usaha sama Malaysia yang layak selama sekurang-kurangnya 14 hari.

Matlamat utama skim ini adalah bagi melindungi filem buatan Malaysia daripada terlindung oleh blokbuster asing (dari segi masa dan jumlah tayangan), di samping memastikan filem tempatan mendapat pendedahan perdana terutamanya semasa minggu-minggu penting setelah mula ditayangkan.

image is not available
Sumber gambar: Pexels

Filem Skim Wajib Tayang Dipindah Ke Panggung Kecil Jika Jumlah Penonton Tidak Memberangsangkan

Menurut FINAS, pawagam perlu menayangkan filem yang telah diluluskan di bawah skim tersebut selama 14 hari berturut-turut di panggung terbesarnya.

Jika kehadiran penonton di bawah 30% kapasiti pawagam selepas empat hari, filem terbabit boleh dipindahkan ke panggung yang lebih kecil.

Akan tetapi, jika kehadiran penonton tidak mencecah 15% selepas tiga hari, tayangannya mungkin akan dihentikan sepenuhnya atas budi bicara pihak pawagam.

Kami tidak mempunyai data tepat, namun berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh FINAS, boleh disimpulkan bahawa GSC mungkin menamatkan tayangan Gantung: Musketeer Code setelah ia gagal mengekalkan keperluan Skim Wajib Tayang.

Skim Wajib Tayang bertindak sebagai ‘jambatan’ di antara sokongan kerajaan dan tayangan filem dengan memberi pendedahan wajib kepada pembikin filem Malaysia.

Dalam masa sama, skim ini juga berkembang untuk mempromosikan naratif lebih baik, promosi lebih kuat, dan persaingan yang sihat dalam industri filem tempatan.

Skim Wajib Tayang bukanlah berlaku secara automatik, sebaliknya pembikin atau penerbit filem perlu membuat permohonan enam bulan sebelum tarikh tayangan. Permohonan itu tertakluk kepada kelulusan oleh FINAS.

Sekiranya permohonan tidak berjaya, pembikin filem masih boleh membuat rayuan kepada FINAS dalam tempoh tujuh hari.

Carian kami di laman web FINAS mendapati filem Gantung: Musketeer Code sememangnya tersenarai di bawah Skim Wajib Tayang.

image is not available
Sumber: Laman web FINAS