Pengarah Ninavau sedia terima kecaman

LocalMovie
6 Dec 2025 • 4:27 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PENGARAH Ninavau Bebbra Mailin bersedia menerima kecaman berhubung tema serta isu yang diketengahkan dalam filem terbabit.

Sutradara wanita dari Kota Kinabalu itu mengakui tidak semua orang boleh menerima dengan baik isu perbezaan agama yang dianggap sensitif dalam masyarakat seperti yang ditonjolkan dalam Ninavau.

“Tiada niat untuk menimbulkan kontroversi. Bahkan ketika kami menghasilkan filem pendek Ninavau kami sudah sedar tentang sensitiviti isu perbezaan agama.

“Saya sendiri sebagai penulis skrip, idea asal dan juga pengarah turut melakukan tapisan terhadap apa sebenarnya yang ingin saya sentuh dalam filem ini.

“Jadi apabila akhirnya saya menghasilkan Ninavau dalam bentuk yang lebih panjang (filem cereka), saya rasa saya boleh bercerita dengan lebih banyak perspektif ataupun lapisan lain tentang agama.

“Selain itu, saya juga menyentuh hubungan antara Malaysia Timur dan Barat serta perbezaan persepsi terhadap orang kita (Sabah) di Semenanjung melalui dialog-dialog dalam Ninavau.

“Sejak awal lagi ketika menghasilkan filem ini saya sudah jelas tentang apa yang ingin saya sampaikan sebagai seorang pengarah,” katanya kepada Hiburan Ekspres.

Hakikatnya, Bebbra berkata isu utama yang ingin ditekankan dalam Ninavau adalah mengenai penerimaan keluarga, toleransi dan pilihan peribadi dalam menentukan agama.

Menurutnya lagi, Ninavau, filem debutnya sebagai pengarah, sangat dekat dengan dirinya kerana ia sebenarnya menggambarkan perjalanannya sendiri sebagai seorang mualaf.

“Ia mengenai bagaimana perjalanan saya dalam memeluk Islam adalah satu perjalanan yang sangat panjang, dan cerita ini sangat peribadi untuk saya.

“Saya tidak boleh mengawal apa yang orang mahu cakap tentang Ninavau namun saya yakin dengan apa yang saya cuba sampaikan dalam filem ini iaitu tentang penerimaan keluarga dan membuat pilihan peribadi dalam memilih agama,” katanya.

Ninavau mengisahkan seorang wanita Kadazan bernama Ninavau yang pulang ke kampung halamannya di Sabah untuk menghadiri majlis perkahwinan adiknya.

Keluarganya, yang merupakan penganut Katolik, melihat Ninavau sebagai cahaya harapan dalam komuniti mereka. Namun, setelah memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga, Ninavau perlu meyakinkan mereka bahawa perubahan keyakinannya tidak mengubah kasih sayangnya terhadap keluarga.

Menurut Bebbra, cabaran paling besar sebagai pengarah pertama kali ialah memastikan strategi pemasaran dan pengedaran mencapai penonton sasaran.

“Saya bersyukur kerana dikelilingi oleh pasukan produksi yang kuat dan berpengalaman daripada penerbit sehinggalah kepada produksi muzik.

“Mereka banyak membantu dan juga memberi saya kebebasan untuk membuat keputusan bagi mencapai visi yang saya inginkan untuk Ninavau.

“Tetapi cabaran lebih kepada pemasaran dan pengedaran. Kami sudah berbelanja banyak untuk produksi dan kini perlu melabur lebih banyak untuk promosi pula.

“Sangat mencabar untuk memastikan filem ini dapat dijual dan mendapat pulangan sekurang-kurangnya minimum,” jelasnya.

Mengulas harapan terhadap naskhah sulungnya itu, Bebbra enggan meletakkan sasaran tinggi.

“Walaupun tidak berjaya mencatatkan kutipan yang tinggi saya berharap filem ini menerima maklum balas dan ulasan yang baik,” katanya.

Ninavau, terbitan Kristal Azmir Sdn Bhd dan Le Mediator Studio Sdn Bhd, ditayangkan di 45 pawagam terpilih bermula Khamis lalu.

Terdahulu, filem ini mendapat perhatian apabila dipilih sebagai filem pembuka Festival Filem Malaysia Antarabangsa (MIFFEST) 2025 – pengiktirafan pertama seumpamanya untuk filem dari Sabah.

Ninavau turut mendapat sentuhan visual sinematografer muda dari Indonesia, Bayu Prihantoro Filemon manakala muzik dirakam di studio terkenal di Tokyo, Freedom Studio Infinity, bersama pemuzik Jepun yang dibimbing oleh pengarah muzik Andrew Boong.

Rekaan bunyi filem ini pula mendapat sentuhan Mohsin Othman dari Technica Studios, yang pernah memenangi Anugerah Rekaan Bunyi Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali.

Filem berdurasi 93 minit ini dibintangi pelakon Sabah yang juga pengacara Jovenea Jim, Tati Eliana Tonny, Edward Sinsong – yang pertama kali berlakon – di samping ramai lagi pelakon tempatan.