
Kota Kinabalu: Seorang pengarah operasi sebuah syarikat penyedia latihan berusia 53 tahun didakwa mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM469,050.
Ag Ruzi Ag Tahir mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga, kepada pertuduhan terhadapnya pada Khamis.
Ag Ruzi didakwa mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran palsu pada invois bertarikh 25 Jan 2018 dengan tajuk program Implementing the Increased Capacity and Specific Skills Training in 2017: Welding 6G Level 3 & Bosiet Training, sedangkan program itu sebenarnya tidak dilaksanakan.
Pertuduhan menyatakan Ag Ruzi telah mengemukakan tuntutan itu kepada Ketua Penolong Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Murad Abd Rashid di pejabat UPEN di Jalan Pintas Penampang, dekat sini pada 23 Feb 2018.
Kesalahan itu, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai tuntutan palsu, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 17 Mac untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan melepaskan Ag Ruzi dengan ikat jamin RM100,000 berdepost RM20,000 dan dua penjamin tempatan.
Dia diperintahkan melaporkan diri di pejabat SPRM dua bulan sekali, dan pasportnya, jika ada, diserahkan kepada mahkamah, selain diingatkan supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee dari SPRM mencadangkan jaminan RM100,000 dengan beberapa syarat dikenakan terhadap Ag Ruzi.
Bagaimanapun, peguam Arthur Borine yang mewakili Ag Ruzi, meminta jaminan dikurangkan dengan mengatakan Ag Ruzi yang merupakan pencari nafkah keluarganya, mempunyai enam anak dan seorang isteri yang menghidap kanser tahap dua.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

