
PENGARAH filem terkenal Sabah Tony Francis Gitom (gambar) disahkan meninggal dunia sekitar tengah malam pada Khamis di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Perkara itu disahkan oleh seorang rakan rapat mendiang.
Meninggal dunia pada usia 58 tahun pengarah kelahiran Penampang itu cukup dikenali menerusi hasil karyanya dalam siri televisyen dan telefilem seperti Selamat Hari Jadi Su, Cinta Korporat dan Cinta Antara Benua yang ditayangkan di TV3 pada 1997 sekali gus banyak menyumbang kepada pembentukan penceritaan tempatan di layar kaca.
Drama Cinta Antara Benua lakonan Ahmad Idham, Azhar Sulaiman dan Asdayanti itu turut melayakkan beliau memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Anugerah Seri Angkasa (ASA).
Selain bergelar pengarah Tony juga merupakan penulis skrip dan penyunting serta mengendalikan syarikat produksi miliknya sendiri di Penampang sekali gus memberi sumbangan berterusan kepada perkembangan industri perfileman Sabah.
Beliau juga aktif di media sosial, sering berkongsi pandangan bernas mengenai dunia perfileman tempatan di samping memberi galakan dan bimbingan kepada bakat-bakat baharu.
Rakan rapatnya Evelyn Mercado yang juga pengurus produksi bagi projek terbaharunya Bila Aku Mati berkata penggambaran masih berjalan ketika ketika ini.
Menurut Evelyn, Tony kelihatan tidak sihat sejak kira-kira seminggu lalu sebelum meninggal dunia dan kehilanganya amat dirasai oleh mereka yang pernah bekerjasama dengannya serta seluruh komuniti kreatif di Sabah.
Dalam pada itu jenazah mendiang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pudu, Kampung Tunoh, Penampang pada 22 Disember selepas tiga hari penghormatan terakhir.
Sementara itu pelakon veteran Zulkifli Ismail antara rakan industri yang menzahirkan rasa sedih atas pemergian Tony.
Ketika dihubungi Zulkifli berkata beliau pernah beberapa kali bekerja di bawah arahan mendiang.
“Saya pernah bekerja dengan mendiang antaranya menerusi drama Mencari Pertemuan dan Tak Logik sekitar 1996. Yang lain saya sudah tidak begitu ingat.
“Dia seorang rakan yang baik serta pengarah yang kreatif, tegas dan cerewet. Dari segi kerja kalau dia belum puas hati dia akan ulang penggambaran sehingga mendapat hasil terbaik.
“Kalau setakat 20 ‘take’ itu perkara biasa bagi dia. Dia seorang yang ‘perfectionist’, sama ada dari sudut lakonan atau sudut kamera,” katanya.
Bagaimanapun Zulkifli berkata mereka sudah lama tidak berhubung selepas Tony menetap di Sabah.
“Saya tidak dengar pula dia sakit. Dulu dia sangat aktif dan banyak menghasilkan drama bersama Kuasatek Pictures.
“Tapi sejak dia kembali ke Sabah kami jarang berhubung dan dia juga tidak lagi kelihatan di acara hiburan,” katanya.



