TELUK INTAN – Mahkamah Sesyen Teluk Intan memutuskan bahawa Pengarah Strategi Pemuda Pas Perak, Nurhafizul Badrul Hisham perlu membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM250,000 kepada Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Badrul Hisham Badarudin selepas didapati bersalah memfitnah plaintif melalui pelbagai platform media sosial.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Gan Peng Kun pada 11 Mac 2026 selepas mahkamah berpuas hati bahawa kenyataan-kenyataan yang diterbitkan defendan adalah bersifat fitnah dan telah menjejaskan reputasi plaintif.
Menurut penghakiman, kenyataan berkenaan dibuat menerusi podcast bertajuk Podlive Biar Jelas: Edisi 21 bertarikh 27 Oktober 2024 selain siaran di TikTok pada tarikh sama serta beberapa hantaran di Facebook antara 28 hingga 29 Oktober 2024.
Mahkamah selepas melalui proses perbicaraan penuh yang melibatkan keterangan saksi-saksi, hujahan bertulis dan penelitian terhadap bukti mendapati semua kenyataan tersebut adalah fitnah terhadap plaintif.
Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan defendan membayar RM100,000 sebagai ganti rugi am, RM100,000 sebagai ganti rugi teladan dan RM50,000 sebagai ganti rugi teruk.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan bayaran faedah sebanyak lima peratus setahun ke atas jumlah RM250,000 bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh dibuat.
Dalam masa sama defendan juga diarahkan membayar kos tindakan berjumlah RM16,344 kepada plaintif.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi mandatori supaya defendan menarik balik dan memadam semua kenyataan berunsur fitnah yang telah dimuat naik di mana-mana platform media sosial termasuk Facebook dan TikTok.
Perintah injunksi turut melarang defendan, wakil atau mana-mana pihak berkaitan daripada mengulangi kenyataan berunsur fitnah tersebut dalam apa jua bentuk, sama ada secara lisan atau bertulis kepada pihak ketiga.
Sementara itu, pihak peguam plaintif dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa keputusan berkenaan mencerminkan pendirian tegas mahkamah dalam melindungi reputasi individu daripada serangan fitnah yang tidak berasas.
Menurutnya, tindakan undang-undang itu diambil susulan penyebaran kenyataan yang memberi kesan negatif terhadap reputasi plaintif sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak.
"Keputusan ini mencerminkan pendirian tegas mahkamah dalam melindungi reputasi individu daripada serangan fitnah yang tidak berasas.
"Ia juga menjadi peringatan kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam membuat dan menyebarkan sebarang kenyataan khususnya di platform awam," katanya pada Selasa.
Menurutnya, pihak plaintif menghormati keputusan mahkamah dan berharap agar perkara ini menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk sentiasa mematuhi undang-undang serta menjaga integriti dalam komunikasi.

